MOSCOW: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bertemu Presiden Russia Vladimir Putin, pada majlis sambutan negara di Grand Kremlin Palace di sini, hari ini.
Sultan Ibrahim tiba di Kremlin pada kira-kira 3 petang sebelum berangkat ke St George’s Hall, dewan besar dihiasi tiang marmar putih dengan salutan emas.
Seri Paduka Baginda disambut Putin secara rasmi di dewan tersebut disusuli kedua-dua pemimpin bergerak ke Green Room bagi menghadiri mesyuarat rasmi.
Yang di-Pertuan Agong bertitah lawatan negara ke Russia mencerminkan hasrat ikhlas Seri Paduka Baginda untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara.
Sultan Ibrahim bertitah Malaysia menganggap Russia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dan penting.
“Hubungan diplomatik kita telah terjalin lebih lima dekad, yang diwujudkan secara rasmi pada April 1967.
“Beta diingatkan bahawa Malaysia antara negara ASEAN terawal yang menjalin hubungan dengan Moscow.
“Seperti pepatah Russia, persahabatan lebih berharga daripada wang. Dengan semangat persahabatan inilah, Beta percaya, yang akan terus membentuk hala tuju hubungan antara kedua-dua negara demi kepentingan rakyat,” titah Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada pertemuan rasmi dengan Presiden Rusia Vladimir Putin selepas majlis sambutan negara di Grand Kremlin Palace di sini hari ini.
Mengiringi Yang di-Pertuan Agong Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Menteri Pengiring, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamad Zin dan Duta Besar Malaysia ke Russia, Datuk Cheong Loon Lai.
Bersama Putin ialah pegawai-pegawai kanan Russia termasuk Pembantu Presiden Russia bagi Hal Ehwal Antarabangsa, Yury Ushakov; Menteri Pembangunan Ekonomi, Maxim Reshetnikov; Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi, Valery Falkov; Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar, Alexander Pankin dan Timbalan Menteri Pertahanan, Alexander Fomin.
Sultan Ibrahim kini dalam lawatan negara pertama Seri Paduka Baginda ke Russia hingga 10 Ogos ini atas undangan Putin.
Kunjungan itu merupakan lawatan negara pertama oleh Ketua Negara Malaysia ke Russia.-BH Online