Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merekodkan tunggakan terkini bayaran sewa rumah sekitar RM69 juta, penurunan RM1.09 juta daripada lebih RM70 juta bagi tempoh sama sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata ia hasil pelaksanakan pelbagai inisiatif dan usaha DBKL bagi memastikan penyewa melaksanakan tanggungjawab sebagai penyewa dengan menjelaskan bayaran sewa.

“Inisiatif dan usaha yang dilaksanakan adalah merangkumi sesi libat urus dan tindakan penguatkuasaan seperti membuat hebahan tanggungjawab membayar sewa, galakan menjelaskan tunggakan sewa melalui Kempen Jom Bayar Sewa PA/PPR.

“Selain itu, DBKL memberi peringatan tunggakan sewa melalui pengeluaran notis-notis tunggakan termasuk mengadakan sesi bersemuka di kawasan PA/PPR bagi tujuan rundingan penyelesaian tunggakan.

“Pada masa sama, lawatan ke unit-unit bertunggakan dijalankan dengan membawa ‘handheld payment terminal’ bagi memudahkan penyewa membuat bayaran tanpa perlu hadir ke kaunter bayaran. 

“DBKL juga menyediakan kemudahan kaedah bayaran tunggakan sewa melalui jadual ansuran bagi penyewa yang tidak berkemampuan menjelaskan tunggakan secara keseluruhan, disamping menyediakan pelbagai medium bayaran selain di kaunter,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen semalam.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang), sejauh mana tindakan diambil ke atas penyewa rumah di bawah DBKL yang gagal menjelaskan tunggakan RM70 juta.

Terkini, Dr Zaliha berkata DBKL sedang giat melaksanakan Operasi Task Force Culas Sewa iaitu tindakan memotong bekalan air ke atas unit bertunggakan yang gagal menjelaskan tunggakan selepas notis peringatan dikeluarkan dan sesi bersemuka rundingan penyelesaian tunggakan diadakan.

Tegasnya, tindakan ini adalah selaras dengan Klausa 9 Perjanjian Penyewaan Rumah Pangsa DBKL iaitu Tindakan Memotong Bekalan Air Oleh Datuk Bandar.

“Dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dan usaha bagi mengurangkan tunggakan, DBKL menghadapi cabaran mendapatkan kerjasama dari penyewa di mana sesi bersemuka kurang mendapat sambutan dari penyewa.

“Kebanyakan penyewa yang telah diberikan pertimbangan jadual ansuran tidak mematuhi jadual bayaran ansuran.

“Inisiatif dan usaha DBKL dalam menangani isu tunggakan sewa tidak akan berkesan sekiranya tidak mendapat kerjasama yang baik dari penyewa,” katanya.-BH Online