Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua projek perumahan rakyat berskala besar di negara ini supaya mematuhi sepenuhnya kerangka MADANI, termasuk menyediakan segala kemudahan asas lain yang memenuhi keperluan rakyat.

Perdana Menteri berkata, syarat itu termasuk pembinaan sekolah menengah, sekolah rendah atau ‘vertical school’ (sekolah menegak) yang lengkap dengan lif khas dalam bangunan, TADIKA dan prasekolah, serta kemudahan keselamatan dan kesihatan.

Beliau menegaskan projek perumahan yang mempunyai 3,500 unit, tidak boleh diteruskan sekiranya gagal memenuhi syarat berkenaan.

“Arahan saya, semua konsep perumahan besar terutama macam rumah 3,500 unit, mesti menyediakan prasarana sekolah.

“Kita hendak memastikan mesti ada sekolah. Kalau tidak ada sekolah berdekatan, mesti ambil beberapa blok di situ… dengan lif, ‘vertical school’ mesti ada. 

“Satu lagi, ada tak satu tempat untuk TADIKA? Kita kata di bandar, ibu bapa pendapatannya RM2,000 hingga RM3,000, TADIKA ini dua batu jauhnya. Saya sudah arahkan supaya TADIKA itu dalam bangunan. Kalau tidak ada, dibetulkan.

“Jadi, saya anggap satu blok boleh diteruskan, satu blok lagi mesti ditangguh sehingga semua syarat ini dipenuhi. Kalau tidak dipenuhi, jangan teruskan,” katanya pada Majlis Pelancaran Residensi Aman Lumayan di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini, hari ini.

Anwar berkata, semua pihak termasuk pemaju, perancang bandar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dan jabatan berkaitan perlu menyelaraskan konsep itu dalam setiap projek perumahan.

“Saya hendak konsep ini memenuhi semua keperluan, dipatuhi dan bukan saja projek ini dipantau peribadi Perdana Menteri, semua projek mesti ikut konsep ini. 

“Mahu jadi bandar, kalau tak ada sekolah, gaji RM3,000, hendak pergi berjalan jauh mana hendak ke sekolah? Bagaimana jaga keselamatan anak-anak dengan TADIKA dengan kes jenayah yang menyinggung kedudukan anak-anak kecil. 

“Jadi apabila kita katakan keprihatinan terhadap masalah rakyat, kita kena lihat ini semua termasuk pengangkutan, sekolah, TADIKA dan kesihatan mereka,” katanya.

Anwar turut menegur kelewatan kelulusan projek yang menyebabkan rakyat menunggu rumah bertahun-tahun, dan berharap setiap projek disegerakan.

“Kita tidak mahu umpamanya mana-mana jabatan itu terpalit dengan urusan komisen dan rasuah. Kita harap dalam pentadbiran sekarang, hal ini dapat dibersihkan. 

“Tapi kalau mahu bersih, jangan lembab. Kita kata kalau ada orang itu dia bersih tapi kelulusannya lambat, tak boleh juga. 

“Ada projek perumahan di negeri baru-baru ini, lapan tahun belum siap, 12 tahun kerana perancangan itu tidak meneliti dan tidak mengambil kira beberapa faktor dan kemudian akhirnya dipolitikkan. 

“Rakyat terdera dengan permainan politik. Sebab itu saya minta hal-hal ini diberi perhatian,” katanya.-BH Online