Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur pemaju hartanah yang gagal menyediakan prasarana asas seperti sekolah bagi keperluan penduduk, dalam projek perumahan berskala besar.

Perdana Menteri membuat teguran itu susulan aduan dan pemerhatian berhubung kesukaran rakyat berpendapatan sederhana, termasuk golongan bergaji RM3,000 ke bawah, untuk mendapatkan akses kepada pendidikan serta kemudahan asas lain seperti TADIKA, pusat kesihatan dan keselamatan.

“Saya kurang puas hati mengenai aspek pendidikan dalam projek-projek baharu. Projek berskala besar harus memenuhi konsep pembangunan MADANI.

“Kalau sekolah jauh, TADIKA tidak ada… bagaimana ibu bapa hendak urus anak-anak? Ini bukan soal kecil. Semua ini mesti diberikan perhatian serius.

“Semua projek perumahan besar di bandar mahupun luar bandar perlu mengikut konsep pembangunan menyeluruh yang menitikberatkan keperluan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Residensi Aman MADANI di sini, hari ini. 

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Anwar turut mengarahkan pemaju hartanah projek Residensi Aman MADANI untuk menyediakan semula kertas kerja perancangan pembangunan.

Beliau turut meminta pemaju projek, termasuk Datuk Bandar Kuala Lumpur dan pihak berkaitan perancangan bandar yang lain, berjumpa dengannya pada Isnin depan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Satu blok boleh diteruskan, satu lagi saya arah tangguh sehingga syarat-syarat ini dipenuhi.

“Saya tidak kisah jika ada yang tidak senang dengan teguran saya. Negara ini hanya boleh berubah jika kita semua ubah sikap dan melaksanakan tanggungjawab. 

“Ini projek besar, dan pemaju perlu memberikan kerjasama,” katanya.

Perdana Menteri sekali gus menegaskan masalah rakyat seperti risiko banjir, akses kepada pendidikan, kesihatan dan keselamatan, tidak boleh dipandang ringan dalam pembangunan kawasan baharu.

“Kalau nak bertanggungjawab, fikirkan mengenai mereka di bawah. Rumah sahaja tidak mencukupi. Semua keperluan asas perlu disediakan,” katanya.-BH Online