Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan merujuk penasihat undang-undang terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada mendedahan laporan penuh siasatan termasuk minit mesyuarat, susulan penggantungan Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), tahun lalu. 

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata hal ini kerana perkara itu masih di peringkat tidak boleh didedahkan kepada umum untuk semakan perundangan. 

“Sama ada nak didedahkan kepada orang awam atau tidak, itu bergantung kepada perbincangan dari semasa ke semasa dan juga kena rujuk pihak mengendalikan urusan perundangan dan sebagainya.

“Perkara ini di peringkat yang tak boleh didedahkan kerana ia dalam siasatan dan sebagainya. Jadi masa akan menentukan dan pandangan ahli Parlimen Gerik diambil perhatian kerana ia adalah hak awam.

“Kebanyakan orang kampung juga duduk dalam anggota NAFAS. Untuk itu, kami ambil perhatian penuh sama ada boleh atau tidak didedahkan kepada awam.

“Namun begitu, ia bergantung kepada penasihat undang-undang. Kita akan rujuk (penasihat undang-undang terlebih dahulu),” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab pertanyaan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) yang menggesa adakah KPKM bersedia untuk mendedahkan laporan penuh siasatan, minit mesyuarat dan asas penggantungan Perlembagaan NAFAS kepada rakyat, termasuk juga kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Mengenai pendedahan kepada PAC, Mohamad berkata pihaknya tiada masalah untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau berkata ia bergantung kepada PAC sama ada akan memanggil pihak kementerian termasuk dirinya sendiri dalam prosiding ditetapkan.

“Saya ingat dalam PAC tidak ada masalah kerana PAC boleh memanggil mana-mana jabatan kerajaan termasuk menteri sendiri untuk memberi penerangan,” katanya.-BH Online