Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memanggil pulang diaspora negara yang berada dalam industri nuklear di luar negara untuk berkongsi kepakaran sejurus Malaysia membuat keputusan untuk memulakan program tenaga nuklear sebagai sumber tenaga baharu, seawal 2030 nanti. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata negara mempunyai perancangan sedemikian sekiranya negara berhasrat untuk membina loji tenaga nuklear pada masa hadapan.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata terdapat ramai diaspora warga Malaysia yang berada di luar negara yang sedang berkhidmat dalam industri nuklear di beberapa negara dan beliau sendiri sudah bertemu dengan sebahagian mereka. 

“Apabila kita memutuskan sedemikian (memulakan program nuklear) barulah kita bawa semua diaspora dan pakar-pakar yang berada di luar negara pulang berkhidmat dalam negara ini. Sekarang kita belum putuskan lagi program itu.

“Ramai (yang berkhidmat dalam industri nuklear di luar negara) dan yang saya sudah bertemu lebih 10 orang,” katanya ditemui dalam program Driving the Green Energy Transition anjuran MBSB, di sini, hari ini. 

Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Mareena Mahpudz dan Pengerusi MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad. 

Mengulangi kenyataan mengenai program nuklear, Fadillah berkata, adalah masih awal untuk mengatakan Malaysia akan menggunakan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga baharu. 

Keputusan untuk meneruskan program itu hanya akan diketuai seawal 2030 selepas kajian berkaitan peraturan dan teknologi dilakukan. 

“Ia hanya akan dilakukan apabila masyarakat awam menerima program ini dengan semua aspek keselamatan, penerimaan awam dan aspek alam sekitar diambil kira secara kritikal,” katanya. 

Malaysia timbang guna tenaga nuklear pada masa depan

Sementara itu dalam satu sesi soal jawab, Fadillah yang menjawab soalan mengenai pertimbangan untuk Malaysia mengadakan tenaga baharu nuklear, beliau berkata, negara hari ini sedang mempertimbangkan untuk bersedia kepada penggunaan tenaga nuklear untuk masa hadapan. 

“Saya sendiri sedang mengetuai satu pasukan untuk mempertimbangkan tenaga pelakuran (fusion energy) untuk masa depan. Bukan hanya nuklear. Tapi buat masa sekarang, nuklear memang sudah menjadi sebahagian daripada pertimbangan dasar kita. Tapi untuk laksanakannya, banyak perkara perlu diambil kira. 

“Kita sudah menubuhkan MyPower, agensi kebangsaan yang akan meneliti semua perjanjian antarabangsa dan perundangan sebelum kita boleh menjadi negara pengguna tenaga nuklear. 

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menjadi badan pengawal selia yang akan melihat kepada aspek penguatkuasaan, termasuk pindaan kepada undang-undang sedia ada, bukan hanya dari segi penguatkuasaan, tetapi juga pembangunan modal insan,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata, negara juga sudah mempunyai pusat pengajian tinggi seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang sudah menawarkan pengajian dan kursus berkaitan tenaga nuklear. 

“Saya juga sudah memulakan lawatan ke Perancis dan Russia untuk bertemu ramai rakyat Malaysia yang berkhidmat dalam industri nuklear negara terbabit,” katanya.-BH Online