Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri di Sarawak buat kali ketujuh, dalam tempoh terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata urusan itu akan membabitkan penelitian semula dan pertimbangan sempadan Bahagian Pilihan Raya Persekutuan meliputi kawasan Parlimen dan negeri sesuai dengan perkembangan semasa.

“Urusan Kajian Semula Persempadanan hanya boleh dilaksanakan oleh SPR selepas lat tempoh lapan tahun dari kajian terdahulu berakhir. 

“Dalam hal ini, lat tempoh Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Di Dalam Negeri Sarawak Kali Keenam telah berakhir pada 21 Ogos 2023.

“Bagi menjalankan kajian ini, SPR juga akan mengambil kira pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 82 kerusi kepada 99 kerusi yang telah diluluskan oleh DUN Sarawak pada 7 Julai 2025 lalu selaras Perkara 113(3B) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Ali Anak Biju (PN-Saratok) mengenai komitmen kerajaan dalam mempertimbangkan semula sempadan kawasan pilihan raya Parlimen di Sarawak yang disifatkannya tidak lagi relevan dengan perkembangan demografi terkini terutama untuk memastikan perwakilan politik yang adil kepada masyarakat luar bandar.-BH Online