Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Harga pasaran ayam dilaporkan stabil sejak subsidi terhadap produk itu ditamatkan berkuatkuasa 1 November 2023, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh.

Beliau kata sebelum penamatan subsidi itu dilaksanakan, pasaran ayam berdepan masalah kawalan harga walaupun kerajaan menetapkan harga kawalan dan memberikan subsidi.

Justeru katanya, kementerian melaksanakan strategi membanteras kartel makanan ayam, yang mana 70 peratus kos pengeluaran ayam adalah daripada makanan ayam.

“Apabila kita banteras, maka kita dapat kawal kos pengeluaran ayam. Dari 1 November 2023, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil data berkenaan harga ayam dan sampai hari ini, setiap hari untuk pastikan ia benar-benar berkesan.

“Kita tarik subsidi tapi kita kawal bekalan dan kita teliti sepanjang rantaian serta periksa harga ayam itu setiap hari. Kita dapat lihat harga ayam stabil dan ada yang rendah lagi.

“Begitu juga apabila subsidi telur ditarik (pada 1 Ogos lalu). Kita tengok, bekalan dan harga telur tiada masalah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.null

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) berhubung mekanisme pelaporan dan pemantauan oleh Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bagi memastikan langkah intervensi kos sara hidup memberi impak kepada pengguna serta indikator pencapaian keberkesanannya.

Sementara menjawab soalan asal Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) mengenai tindakan kerajaan menerusi NACCOL dalam usaha menurunkan kos sara hidup rakyat selepas tiga Mesyuarat NACCOL dan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif NACCOL pada tahun ini, Fuziah berkata beberapa keputusan penting dibuat pada mesyuarat berkenaan.

Dari aspek makanan dan minuman, peruntukan bagi program Jualan Rahmah ditingkatkan dari RM300 juta kepada RM600 juta bagi tahun ini, selain pelaksanaan Jualan Agro Madani di pelbagai lokasi strategik dengan peruntukan tambahan RM25 juta bagi pelanjutan Program Jualan Agro MADANI (JAM) 2025.

Dari aspek kesihatan, Fuziah memaklumkan, beberapa langkah pemerkasaan pengguna diputuskan dan mula dilaksanakan, termasuk preskripsi ubat diwajibkan bagi setiap perundingan dengan doktor, yang memberi hak kepada pesakit untuk membuat pilihan, sama ada membeli ubat di klinik atau di farmasi lain.

“Selain itu, paparan harga ubat di semua klinik dan farmasi yang sepatutnya bermula 1 Ogos, selain klinik juga diwajibkan memberi bil terperinci kepada pesakit, termasuk caj konsultasi dan ubat,” katanya.

Pada masa sama, Fuziah berkata, dalam aspek pendapatan dan perbelanjaan asas, kerajaan melalui NACCOL juga sudah memulakan usaha membangunkan Indikator Kos Sara Hidup dan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar. 

“Tahun ini, usaha advokasi berkaitan perbelanjaan asas itu sudah pun dimulakan sebagai rujukan dasar dan tindakan kerajaan,” katanya.-BH Online