Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) menetapkan strategi untuk mengekalkan komposisi Melayu dan Bumiputera di bandar raya ini supaya tidak kurang 40 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Dr Zaliha Mustafa, berkata antara strategi sedang diteroka termasuklah memperkenal komponen khusus Melayu dalam setiap pembangunan di atas tanah rizab Melayu, Penempatan Pertanian Melayu (MAS) atau kawasan majoriti Melayu.

“Bagi setiap pembangunan di atas tanah rizab Melayu, MAS atau kawasan majoriti Melayu di Wilayah Persekutuan, komponen rumah mampu milik Melayu, kedai mampu milik Melayu dan perindustrian kecil milik Melayu akan diperkenalkan.

“Cadangan ini kasih di peringkat kajian dan perlu dirujuk pertimbangan jemaah menteri terlebih dahulu,” katanya menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) mengenai pelan jangka panjang kerajaan untuk mengekalkan identiti, pemilikan dan kesinambungan komuniti Melayu di tengah bandar khususnya di Kuala Lumpur yang mengalami tekanan pembangunan swasta.

Bagi memastikan pengekalan komuniti Melayu di Kuala Lumpur, Dr Zaliha berkata penetapan peratusan kuota Bumiputera ditingkatkan sejak 2023 kepada minimum 40 peratus bagi projek persendirian dan minimum 70 peratus bagi projek kerajaan serta usaha sama.

“Kuota ini ditetapkan bagi semua kelulusan perancangan tanpa mengambil kira lokasi, yang tertakluk kepada bentuk pembangunan.

“Bagi rizab Melayu pula, pematuhan pemilikan sepenuhnya 100 peratus mestilah kepada Melayu tanpa sebarang kompromi,” katanya.

Mengenai keluasan keluasan penempatan tradisi Melayu dan rizab Melayu yang masih wujud di Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha berkata PSKL 2040 yang diwartakan 19 Oktober 2023 menyatakan 37 penempatan tradisi atau kampung dikenal pasti di Kuala Lumpur.

“Daripada jumlah itu, katanya 31 kampung dengan ukuran keluasan 1,660.12 hektar terdiri majoriti penduduk Melayu dan daripada semua Kampung Melayu ini, 11 kampung dengan 701.95 hektar berada dalam rizab Melayu.

“Daripada pewartaan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, keseluruhan tanah rizab Melayu adalah 1,004 hektar yang meliputi pelbagai guna tanah.

“Selaras PSKL 2040, semua 37 kampung berkenaan ditetapkan hala tuju perancangan masa depan melalui tiga klasifikasi iaitu kampung tradisi, kampung potensi pembangunan dan kampung-kampung lain,” katanya.

Berhubung soalan mengenai isu pengambilan semula tanah untuk pembangunan di kawasan tanah rizab Melayu, Dr Zaliha berkata pihaknya sedang melihat secara terperinci mekanisme terbaik bagi memastikan demografi yang menentukan majoriti Melayu dikekalkan, melalui libat urus bersama agensi, pemaju khususnya yang terkait dengan badan berkaitan kerajaan (GLC) dan badan pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

“Sebelum warta PSKL 2040, kita jadikan satu ketetapan untuk dibuat buat pendengaran awam, di mana kita dengar 28,000 respon awam dan pihak kepentingan.

“Jadi apabila kita buat rancangan untuk pembangunan, ia mengambil kira juga suara semua,” katanya.-BH Online