KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan pakar ekonomi inovasi yang juga Pengarah Pengasas Institut bagi Inovasi dan Tujuan Awam dari Kolej Universiti London (UCL), United Kingdom Profesor Dr Mariana Mazzucato.
Anwar menerusi hantaran di Facebook, berkata pertemuan itu antara lain membincangkan kepentingan strategi berorientasikan misi yang menggalakkan kerjasama awam-swasta bagi memacu pelaburan hijau, inovasi teknologi dan transformasi digital.
“Turut disentuh ialah keperluan memperkasa perkhidmatan awam yang moden dan tangkas sebagai tunjang kemajuan negara.
“Profesor Mazzucato juga berkongsi pandangan bahawa Malaysia perlu menangani cabaran sistemik, memperkukuh strategi digital, memupuk inovasi dan membina kemahiran masa depan demi kejayaan transformasi jangka panjang negara,” katanya.-BH Online