KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mengakui kepentingan teknologi seperti Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) dan Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV) dalam meningkatkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Justeru, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan meneruskan rancangan perolehan UAS dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk fasa dua, sekali gus melengkapkan perancangan Pelan Pembangunan Keupayaan 2055 (CAP55).
Mengulas lanjut, katanya ia susulan kepada perolehan UAS jenis ANKA-S buatan Turkish Aerospace Industries (TAI) melalui fasa satu, yang mana ia akan diterima tahun hadapan.
“Keutamaan perolehan UAV melibatkan beberapa langkah strategik daripada pihak ATM dalam merangka keupayaan menjelang RMK13.
“ATM melalui beberapa siri jawatankuasa seperti Jawatankuasa Pembangunan Angkatan Masa Hadapan (JK PEMAMPAN), Strategic Round Table Talk (SRTT) serta Jawatankuasa Panglima-Panglima (JPP) bagi memperhalusi keupayaan yang bakal dimiliki selaras dengan Fasa Pembangunan Angkatan Masa Hadapan (AMH) 2026-2030,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai rancangan Kementerian Pertahanan untuk mengintegrasi penggunaan UAV dalam sistem pertahanan udara negara di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Adly berkata, melalui langkah strategik, UAS dan UAV dilihat mampu meningkatkan keupayaan ATM seperti peningkatan keupayaan kuasa tembakan, mobiliti, komunikasi dan logistik melalui domain daratan.
“Peningkatan keupayaan tempur maritim dan keupayaan daya tahan operasi maritim melalui domain maritim.
“Selain itu, ia juga mampu meningkatkan keupayaan pertahanan udara dan serangan udara melalui domain udara,” katanya.
Beliau berkata, pemodenan aset pertahanan akan diteruskan melalui rancangan perolehan di bawah RMK13 selaras dengan Fasa Pembangunan AMH 2026-2030.
“Melihat kepada aktiviti utama yang dilaksanakan ATM, keupayaan UAS/UAV amat penting dalam aplikasi angkatan bagi memperkukuhkan kedaulatan negara agar Malaysia sentiasa berdaulat, selamat dan makmur,” katanya.-BH Online