KUALA LUMPUR: Malaysia kini di peringkat akhir pencalonan bagi mengisi kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dengan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada Persidangan Agung badan dunia itu di Paris pertengahan November ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata persediaan untuk pencalonan itu digerakkan hampir setahun dengan pendekatan rapi dan konsisten memandangkan proses tersebut memerlukan keyakinan serta sokongan negara anggota UNESCO.
“Beberapa siri sudah pun berlangsung khususnya berkaitan dengan kempen pusingan awal dan kita kini memasuki peringkat akhir.
“Insya-Allah, bulan November ini kita akan melunaskan tugas-tugas akhir sebelum keputusan sama ada kita dapat atau tidak kerusi terbabit,” katanya kepada pemberita pada Majlis Cicipan Kebaya anjuran Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) di sini hari ini.
Fadhlina, yang juga Presiden SKUM, berkata majlis itu adalah sebahagian daripada kempen Malaysia untuk menduduki kerusi berkenaan selain meraikan pengiktirafan antarabangsa terhadap kebaya sebagai Warisan Tidak Ketara UNESCO pada Disember tahun lalu.
Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik dan Hubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan Fadzilah Fadzil pula berkata antara promosi lain yang dijalankan ialah menganjurkan lawatan rasmi ke Kilim Geoforest Park di Langkawi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN pada Jun lepas.
“Kilim adalah geopark pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan UNESCO dan lawatan itu menjadi platform untuk menonjolkan komitmen Malaysia terhadap pemuliharaan alam sekitar.
“Dalam lawatan itu, kita tunjukkan apa yang kita ada seperti pemuliharaan alam semula paya bakau,” katanya.
Beliau berkata kempen pencalonan turut dijalankan menerusi Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO di Paris dan setakat ini, lima resepsi diadakan membabitkan wakil tetap dari pelbagai rantau termasuk Afrika, Eropah serta Amerika.
“Kita terangkan kepada mereka apa visi Malaysia dan bagaimana kita boleh menyumbang dalam agenda global UNESCO khususnya dalam bidang pendidikan, warisan dan kelestarian,” katanya.-BH Online