Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang membangunkan aplikasi khusus berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu siasatan jenayah membabitkan kes berkaitan siber termasuk penipuan dalam talian, pemalsuan identiti dan penyebaran maklumat palsu.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata aplikasi itu sedang dibangunkan pihaknya dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui agensi CyberSecurity Malaysia (CSM).

“Aplikasi berasaskan AI ini bagi mengesahkan ketulenan gambar dan video, bertujuan membantu siasatan jenayah siber seperti penipuan dalam talian, pemalsuan identiti dan penyebaran fitnah digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai usaha kerajaan dalam membangunkan teknologi AI bagi menangani penipuan termasuk penipuan siber.

Sementara itu Gobind memaklumkan Kementerian Digital mengambil beberapa langkah pencegahan melalui pendekatan dasar, sistem dan adaptasi teknologi serta kerjasama rentas agensi bagi menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks.

Antara inisiatif dilakukan termasuklah pembangunan garis panduan berkaitan AI, yang mana Kementerian Digital melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedang membangunkan garis panduan berkaitan AI dan dijangka selesai Januari hingga Mac 2026.

“Garis panduan dibangunkan adalah Garis Panduan Penilaian Impak Perlindungan Data (DPIA), Garis Panduan Mereka Bentuk Berdasarkan Perlindungan Data (DPbD) dan Garis Panduan Pembuatan Keputusan Individu Secara Automatik dan Pemprofilan.

“Kementerian Digital melalui Jabatan Digital Negara juga membangunkan Garis Panduan Pengadaptasian AI di Sektor Awam (GPAISA) bagi menyokong jabatan dan agensi kerajaan dalam melaksanakan penggunaan teknologi AI secara selamat, beretika dan bertanggungjawab, selaras prinsip tadbir urus serta pematuhan undang-undang dan hak asasi,” katanya.

Tambah Gobind, kerajaan turut melaksanakan program latihan dan peningkatan kapasiti kepada agensi penguat kuasa dan penjawat awam dalam bidang keselamatan siber dan AI melalui inisiatif seperti ‘AI For Rakyat’ dan program di bawah Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) iaitu MD Workforce Training bagi memberi latihan kepada penjawat awam, pegawai penguatkuasa dan sektor swasta.

“Kerajaan akan terus memperhebat usaha dalam membangunkan ekosistem AI yang selamat, bertanggungjawab dan berdaya tahan bagi menangani jenayah penipuan secara menyeluruh, seiring hasrat menjadikan Malaysia peneraju serantau dalam ekonomi digital dan keselamatan siber,” katanya.-BH Online