Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Ahli Parlimen sama ada di blok kerajaan dan pembangkang mengenai peranan mereka yang sepatutnya menjadi jurucakap kepada rakyat dan bukannya mewakili ‘tauke’ dalam menyuarakan isu yang menyentuh kepentingan rakyat.

Mengulas perkara itu, Perdana Menteri memberi contoh dalam soal penyasaran subsidi diesel yang dijadikan isu besar sedangkan jaminan diberikan kerajaan bahawa inisiatif itu tidak akan membebankan rakyat teramai.

Perkara sama, kata beliau dalam soal membabitkan kenaikan tarif elektrik, yang mana langkah itu hanya akan membabitkan pihak industri.

“Ahli Parlimen perlu jadi jurucakap rakyat, bukan jurucakap tauke. Kadar elektrik yang naik adalah untuk syarikat. Jika ada di mana-mana FELDA secara khusus terbeban, kita cuba bantu.

“Seperti kadar elektrik, rakyat sudah dapat bil untuk Julai, yang disebut Ahli Parlimen pembangkang mengatakan kadar elektrik naik. Tarif elektrik naik, (tetapi) bayaran itu lebih rendah.

“Jika ada yang bayar lebih, saya tidak faham kenapa kerana purata penurunan adalah lapan hingga 14 peratus. Harga elektrik turun, harga minyak turun, ini keadaannya,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri membidas tindakan pembangkang yang disifatkan bersikap berat sebelah apabila tidak sedikit pun membangkitkan mengenai isu kenaikan tarif air di negeri yang dipimpin mereka, sedangkan ia membabitkan semua peringkat rakyat.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan tidak menghalang permintaan kerajaan negeri termasuk Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu untuk menaikkan tarif kerana berdepan masalah seperti tunggakan hutang dan perlu melaksanakan penambahbaikan infrastruktur.

“Kita tidak mahu melarang atau menyuruh, tiada halangan. Ini keputusan negeri kerana air adalah bidang kuasa negeri.

“Keempat-empat negeri naik (tarif), ada negeri lain naik juga tapi oleh kerana kenaikan oleh kerajaan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, ia tidak jadi isu. Cuba katakan Kerajaan Persekutuan yang naikkan, setengah mati kita kena pukul.

“Jadi, saya sebagai yang bertanggungjawab, saya tiada halangan sebab ada keperluan… sama juga dalam penyelarasan subsidi. Jadi, kenapa ‘double standard’(piliha kasih),” katanya.-BH Online