MOSCOW: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat tiba di sini pada Selasa untuk memulakan Lawatan Negara enam hari ke Russia.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo2 pada jam 2.20 petang (7.20 malam waktu Malaysia).
Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disambut oleh Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Russia Valery Falkov dan Pemangku Pengarah Jabatan Protokol Negara Kementerian Hal Ehwal Luar Russia Georgiy Kuznetsov.
Turut menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Russia Alexander Pankin dan Duta Besar Russia ke Malaysia, Nayl Latypov.
Hadir sama menyertai sambutan ketibaan ialah Menteri Pertahanan yang juga Menteri Pengiring Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Malaysia ke Russia Datuk Cheong Loon Lai.
Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan dan Seri Paduka Baginda kemudian berkenan melintasi barisan kawalan kehormatan, diiringi oleh Falkov dan Kuznetsov, sebelum disambut oleh tetamu kenamaan dari Malaysia dan Russia.
Selepas perarakan keluar kawalan kehormatan, Sultan Ibrahim berangkat ke hotel penginapan di Moscow.
Di hotel berkenaan, Seri Paduka Baginda disambut oleh petugas Kedutaan Malaysia dan keluarga mereka serta 30 pelajar Malaysia.
Semasa lawatan enam hari, Sultan Ibrahim akan diberi sambutan negara di Kremlin pada Rabu, disusuli pertemuan rasmi dengan Presiden Russia, Vladimir Putin sebelum menghadiri Majlis Santapan Negara yang dihoskan Putin.
Yang di-Pertuan Agong turut dijadualkan melawat Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI) serta Hab Teknologi dan Inovasi Tochka Kipeniya.-BH Online