KUALA LUMPUR: Pembangkang memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas peranan dimainkan beliau dan Malaysia sebagai perantaradalam usaha mendamaikan Thailand dan Kemboja, sehingga gencatan senjata berjaya dicapai antara kedua-dua negara itu.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pembabitan Malaysia itu adalah usaha bagi memperkukuh kestabilan di rantau ASEAN, sekali gus membawa nama Malaysia terus kekal dihormati sebagai negara yang berdaulat.
“Apa pun peranan yang dimainkan Yang Berhormat Tambun, walaupun ada yang menyifatkan hanya sebagai tuan rumah (Malaysia selaku Pengerusi ASEAN), ia tetap menjadi satu peranan yang akan tersemat dalam lipatan sejarah. Saya ucapkan tahniah dan syabas.
“Apa yang penting, Malaysia terus kekal dihormati sebagai sebuah negara yang berdaulat dan terus dipandang tinggi sebagai kuasa pengimbang yang kompetitif dalam rantau Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Isnin lalu, Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan di kawasan sempadan.
Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat khas antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dengan Anwar bertindak sebagai hos, Pengerusi ASEAN dan saksi kepada perbincangan bersejarah itu.
Sebelum ini, beberapa pemimpin dunia turut memuji peranan dimainkan Malaysia, termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menyifatkan kejayaan negara dalam memudah cara perjanjian gencatan senjata sebagai satu tugas yang hebat.-BH Online