Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penggunaan pertama Sistem Pangkalan Data Utara (PADU) akan menjadi rujukan pelaksanaan subsidi bersasar RON95, sementara menunggu pelaksanaannya secara menyeluruh.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang memangku tugas Menteri Ekonomi, berkata data membabitkan 30.4 juta profil individu itu akan digunakan oleh Kementerian Kewangan (MOF) sebagai rujukan bagi melaksanakan pemberian subsidi bersasar.

“Berhubung pelaksanaan subsidi bersasar, data PADU yang akan digunakan oleh MOF bertujuan untuk jadi rujukan kepada penerima subsidi RON95.

“Dengan ini saya rasa penggunaan pertama yang betul-betul terperinci akan digunakan. Jadi kita tunggu bila RON95 diteruskan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang mahu Kementerian Ekonomi menyatakan perancangan terhadap PADU yang dibangunkan dan berapa jumlah data dikumpul sehingga Jun lalu.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata sebanyak 204 agensi melaksanakan perkongsian dan berintegrasi data secara berterusan dengan PADU.

Sehingga kini, katanya terdapat sembilan permohonan daripada pelbagai agensi telah diluluskan bagi tujuan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dasar serta inovasi pendigitalan perkhidmatan.

Mengenai skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL), Amir Hamzah memaklumkan, jumlah pinjaman yang direkodkan di bawah skim itu pada 30 Jun lalu adalah RM3.8 bilion, merangkumi hanya 0.2 peratus daripada jumlah keseluruhan keberhutangan isi rumah di Malaysia.

Katanya, buat masa ini jumlah hutang yang tidak berbayar atau tertunggak di bawah BNPL adalah terkawal, iaitu RM121.8 juta atau 3.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman melalui BNPL.

“Dengan akta yang baru kita luluskan, iaitu Akta Kredit Pengguna 2025, kita akan dapat meningkatkan lagi pengawalan dalam sektor ini, jadi ia akan lebih terkawal buat masa depan.

“Jadi, buat masa sekarang, kita ada cukup pengawasan dalam sistem BNPL,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) sama ada kerajaan bersedia untuk mengklasifikasikan sebahagian BNPL sebagai kredit berisiko sosial dan mengenakan had penggunaan ke atas produk tertentu seperti makanan asas atau keperluan isi rumah bagi mengelakkan kesan hutang berganda bagi isi rumah.-BH Online