KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan bertekad untuk terus mempertahankan dan melindungi hak Sabah sepenuhnya kerana negeri itu adalah sebahagian daripada Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan juga akan terus melindungi kedaulatan negara daripada sebarang bentuk pencerobohan sama ada di darat mahupun di laut.
“Kita pertahankan hak Sabah, satu inci (tanah Sabah) pun tidak akan kita korbankan. Ini negara kita, tahu kita bergelut, kita belanja puluhan juta ringgit .. mungkin mencecah RM100 juta .. satu dunia pertahankan hak Sabah. Tak benarkan satu inci pun laut atau darat diceroboh atau ditutup oleh sesiapa.
“Di Mahkamah Sepanyol (berkaitan isu tuntutan Sulu), kita lawan (secara maksimum) untuk pertahankan hak Sabah. Kerana hubungan kita Persekutuan dengan Sabah .. Sabah sebahagian dari Malaysia. Mengapa kita lakukan ini? Kerana ini negara kita.
“Begitu juga kalau luar sempadan dengan Indonesia. Tapi saya pilih kita berunding dengan sahabat. Bukanlah kita menyerah tapi kita berunding secara baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Anwar berkata Kerajaan MADANI juga komited dalam memacu pembangunan Sabah serta menyelesaikan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi pelbagai inisiatif dan peruntukan, sambil menekankan kepentingan untuk terus memelihara hubungan erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata antara tuntutan yang telah diselesaikan termasuk pemberian khas interim untuk Sabah yang dinaikan daripada RM300 juta kepada RM600 juta tahun ini dan peruntukan RM10 bilion bagi menyiapkan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah.
“Tertangguh (Lebuh Raya Pan Borneo Sabah) dengan kerajaan sebelum ini tetapi kita teruskan bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Mungkin mereka belum nampak, belum siap (Lebuh Raya Pan Borneo Sabah), tapi sekurang-kurangnya kita dah luluskan dan pakej kerja berjalan,” katanya.-BH Online