KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus komited menjaga kepentingan rakyat dengan memberi tumpuan terhadap pemulihan ekonomi, memperkukuh perpaduan nasional dan menjamin kestabilan politik negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan menegaskan berkata, pendekatan itu bukan sekadar bersifat jangka pendek, tetapi dirangka dengan visi jangka panjang yang menyeluruh demi menjamin kesejahteraan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
“Kita melihat bagaimana Perdana Menteri konsisten meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
“Dalam aspek ekonomi, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan untuk merangsang pertumbuhan, menstabilkan kos sara hidup dan memastikan peluang pekerjaan yang adil untuk semua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ramanan yang Naib Presiden PKR berkata, pengumuman terbaru dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menjadi bukti jelas bahawa kerajaan serius dalam memacu pemulihan ekonomi pasca pandemik dan ketidaktentuan global.
“Konsep MADANI adalah asas penting dalam menyatukan masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
“Perpaduan bukan sekadar slogan. Ia diterjemahkan melalui dasar yang inklusif, pengagihan bantuan yang adil serta sokongan berterusan kepada semua komuniti termasuk masyarakat India, Cina, Melayu, Orang Asli dan Sabah-Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, kestabilan politik yang dicapai hasil kerjasama dalam kerajaan Perpaduan harus dipertahankan demi kesinambungan pembangunan negara.-BH Online