KUALA LUMPUR: Nama Malaysia harum di dunia susulan kejayaan mesyuarat khas di Putrajaya pada Isnin lalu yang membawa kepada persetujuan gencatan senjata antara Kemboja dengan Thailand, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ia berikutan peranan dimainkan Malaysia untuk menyatukan dua negara ASEAN berjiran itu ke arah perdamaian serta mencapai kata sepakat yang dilihat sukar diperoleh di wilayah bergolak lain.
Malah, beliau memaklumkan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, turut memberikan pujian kepadanya atas peranan berkenaan.
“Presiden Donald Trump menyebut tiga kali: ‘Prime Minister Anwar, fantastic work (kerja yang hebat).’
“Malaysia termasuk Kementerian Luar dan Panglima Angkatan Tentera semua berusaha.
“Akhirnya dalam tempoh dua jam setengah (mesyuarat khas), alhamdulillah persetujuan gencatan senjata dicapai.
“Nama Malaysia harum di dunia… dari Washington ke London dan ASEAN, orang bicara mengenai kejayaan Malaysia mempersatukan ASEAN serta mencapai perdamaian dan kemajuan untuk semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mega Karnival 3 Dimensi 2025 di sini, hari ini.
Malah, Anwar berkata, perbincangan dengan pemimpin Kemboja dan Thailand masih diteruskan hampir setiap hari.null
“Mereka menyatakan komitmen untuk meneruskan rundingan. Menteri Pertahanan kedua-dua negara akan datang ke Kuala Lumpur pada Isnin ini bagi mengadakan rundingan lebih terperinci mengenai aspek keselamatan.
“Ini adalah satu lagi bukti kemajuan kita. Kalau setiap hari negara ini dipenuhi dengan pertelingkahan dan tuntutan tidak berasas, siapa yang mahu datang untuk berunding,” katanya.-BH Online