Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan mengkaji model pengurusan pasar dan pusat penjaja, Geylang Serai Market & Food Centre bawah Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura, untuk disesuaikan di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata beliau bersama delegasi negeri berpeluang meneliti secara dekat model pengurusan pusat penjaja itu yang tersusun, bersih dan inklusif, dalam lawatan ke Singapura.

“Antara aspek menarik ialah kadar sewa terkawal bagi menjamin harga makanan berpatutan untuk menjamin harga mampu milik kepada pengguna.

“Ia turut dilengkapi sistem penggredan kebersihan yang ketat, latihan wajib kepada pengendali makanan, penguatkuasaan melalui teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV), sistem e-denda dan penggunaan sensor pintar untuk sanitasi serta pemantauan kesesakan.

“Selain itu, NEA turut menguruskan pusat itu melalui model ‘social enterprise’, iaitu pengendali bukan untung yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan peniaga kecil dan mengekalkan keseimbangan sosial,” katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau, hari ini.

Onn Hafiz berkata, kompleks dua tingkat menempatkan 302 lot pasar basah dan 63 gerai makanan halal itu juga menjadi pusat komuniti penting serta simbol warisan budaya masyarakat Melayu di Singapura.

Katanya, pendekatan berkenaan amat relevan untuk diteliti dan disesuaikan di Johor.

Beliau berkata, ia khususnya dalam usaha mentransformasikan pengurusan pasar awam dan pusat penjaja supaya lebih cekap, mampan serta menyokong ekonomi rakyat terutama golongan mikro, B40 dan usahawan kecil.null

“Matlamat kita ialah memperkukuhkan sektor ekonomi komuniti melalui kemudahan lebih teratur, bersih dan mesra pengguna demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negeri yang inklusif,” katanya.-BH Online