KUALA LUMPUR: Seluruh ekosistem koperasi di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) perlu melalui proses penstrukturan semula supaya dapat menjana keuntungan memberangsangkan, sekali gus memastikan keuntungan diperoleh dapat ditingkatkan dan disalur semula kepada peneroka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu penting berikutan koperasi FELDA mempunyai pelaburan dalam pelbagai organisasi perniagaan yang berpotensi menjana pulangan.
“Langkah sedang diambil untuk merealisasikan pegangan pelaburan sama ada melalui penjualan atau memberi pulangan pelaburan (ROI) kepada koperasi.
“Insya-Allah, pembayaran dividen bermula sejak tahun lalu, namun jumlahnya masih kecil berbanding keuntungan tinggi yang dicatatkan pada awal penubuhannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Warga Peneroka FELDA 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan FELDA kini menguasai 92 peratus saham dalam FGV Holdings Berhad, sekali gus membuka laluan ke arah pemilikan penuh dan penstrukturan semula syarikat berkenaan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata proses pemilikan penuh itu akan dimuktamadkan bersama Bursa Malaysia dan keuntungan hasilnya dijangka disalurkan semula kepada warga peneroka.
“Pemilikan ini turut membabitkan penyertaan kerajaan Pahang dan Sabah yang kini masing-masing memegang lima peratus saham FGV, selepas syarikat itu melalui proses penamatan penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menegaskan walaupun beliau bukan anak peneroka, kepentingan peneroka FELDA sentiasa dekat di jiwanya.
“Saya tiada kepentingan peribadi, tiada kepentingan politik. Kepentingan saya hanyalah untuk memastikan hak peneroka FELDA dikembalikan kepada mereka.
“Barulah ada kepuasan dalam kalangan peneroka FELDA dari generasi pertama hingga kelima. Barulah FELDA benar-benar diangkat ke peringkat global apabila perhatian dikembalikan kepada mereka yang membinanya sejak awal,” katanya. -BH Online