KOTA KINABALU: Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah dalam penganjuran Forum Pengairan Dunia ke-4 (WIF4) dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antarabangsa ke-76 menjadi pengiktirafan kepada negara dalam bidang pengairan, saliran pertanian serta pengurusan sumber air.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata acara bertaraf antarabangsa itu bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 7 hingga 13 September ini.
“Sebagai satu daripada acara berprestij dalam WIF4, Mesyuarat Peringkat Tinggi Kumpulan Penasihat akan turut diadakan dengan kehadiran pemimpin utama, pakar teknikal dan pembuat dasar dari 24 negara.
“Mesyuarat ini berfungsi sebagai platform strategik untuk membincangkan isu kritikal berkaitan masa depan sektor pengairan global, termasuk cabaran perubahan iklim, ketahanan air untuk pertanian serta keperluan pemodenan sistem pengairan secara mampan.
“Hasil mesyuarat ini dijangka merumuskan saranan dasar dan hala tuju global yang akan memperkukuh peranan pengairan dalam menjamin sekuriti makanan dunia,” katanya berucap pada Majlis Pra-Peluncuran WIF4 dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antarabangsa ke-76 sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar dan Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian (BPSP) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Yuslina Mohd Sani.
Mohamad berkata, forum itu dijangka menghimpunkan lebih 1,000 peserta daripada wakil kerajaan, institusi penyelidikan, organisasi antarabangsa, sektor swasta dan komuniti tani dari lebih 30 negara, dengan lebih 100 pembentangan merangkumi perbincangan menyeluruh berasaskan keempat-empat sub-tema forum.
Beliau berkata, tema forum kali ini iaitu ‘Adakah industri pengairan menuju kejatuhan’ sangat signifikan untuk menilai semula kedudukan dan masa depan sektor pengairan dalam era perubahan iklim dan teknologi digital.
“Tema ini bukan saja membuka ruang perbincangan kritikal tetapi juga menggalakkan kita mencari pendekatan dan inovasi baharu supaya sektor pengairan terus relevan, produktif serta mampan.
“Forum ini juga dijangka menjadi platform penting untuk berkongsi amalan terbaik dan belajar daripada pengalaman antarabangsa dalam usaha memperkukuh sektor pengairan negara,” katanya.
Mohamad berkata, WIF4 menyediakan platform strategik untuk membina jambatan antara pengalaman lapangan dan penyelidikan saintifik, selain memupuk kerjasama antarabangsa yang kukuh.
Sementara itu, Mohamad menggesa semua peserta termasuk pembuat dasar, penyelidik, jurutera dan usahawan tani mengambil inisiatif membangunkan rangkaian kerjasama teguh demi mempercepatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi.
Beliau turut meminta mereka memanfaatkan peluang itu untuk meneliti dan menerapkan teknologi terkini serta amalan inovatif yang mampu meningkatkan ketepatan dan keberkesanan pengairan, selain menjayakan dialog terbuka yang konstruktif supaya dapat merangka cadangan dasar dan langkah praktikal sesuai untuk memenuhi cabaran masa depan.
“KPKM mengambil langkah proaktif mentransformasi sektor pengairan dengan memperkenalkan teknologi moden seperti pertanian tepat, penggunaan Internet benda (IoT) dalam sistem pengairan pintar dan pendekatan menyeluruh dalam pengurusan sumber air secara lestari bagi sektor pengairan, saliran pertanian dan sumber air kepada pembangunan sektor agromakanan negara,” katanya. – BERNAMA