KUALA LUMPUR: Pergerakan Pengakap Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KLScouts) berpotensi menjadi rakan strategik penting dalam usaha memperkukuhkan ekosistem sosial bandar raya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Katanya, jaringan luas dan pengalaman menerusi Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) boleh dimanfaatkan secara sistematik untuk melaksanakan dasar intervensi sosial di ibu negara, terutama melalui program seperti Program Usaha Jaya Insan (PUJI).
Beliau berkata, keahlian KLScouts telah mencecah lebih 14,000 orang dan boleh menjadi aset penting dalam mendepani cabaran sosial bandar.
“Cabaran ini termasuk pembentukan sahsiah, menanam semangat khidmat bakti serta mengajar rakyat mengenai makna kepimpinan melalui perbuatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia dan Lencana Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Kuala Lumpur di sini, malam tadi.
Dr Zaliha berkata, platform seperti KLScouts membolehkan hubungan antara gerakan rakyat dengan dasar negara dijalinkan dengan lebih berkesan, terutama dalam mendepani cabaran perpaduan di ibu negara.
“Kuala Lumpur adalah medan ujian sebenar kepada perpaduan dan kesatuan rakyat.
“Ia adalah miniatur kepada Malaysia, di mana kerencaman agama, bangsa serta budaya berada dalam satu bandar yang sama dengan kepelbagaian yang penuh dengan cabaran dan peluang,” katanya.
Selain itu, Dr Zaliha berkata, aktiviti pengakap bukan sekadar kegiatan kokurikulum biasa, tetapi merupakan proses penting dalam pembentukan jati diri individu yang menyeluruh.
Beliau sekali gus berharap KLScouts dapat memainkan peranan lebih besar dalam dasar pembangunan sosial bandar secara holistik melalui kerjasama pelbagai pihak.
“Saya berharap kerjasama dibina pada malam ini akan membuka jalan untuk pembabitan KLScouts yang lebih strategik dalam dasar serta pelaksanaan pembangunan sosial di ibu kota ini,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 43 individu menerima Sijil Pengakap Raja; Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia (enam); Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia (79); dan Sijil Wangsa Wilayah (100)
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran rasmi Pingat Peringatan 40 Tahun Majlis Pengakap Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebagai simbol memperingati empat dekad penubuhan organisasi itu.-BH Online