Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PASIR GUDANG: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan membuat panggilan telefon dengan rakan sejawatnya dari Thailand dan Kemboja petang ini, bagi menyatakan kesediaan Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) antara dua negara berjiran itu.

“Panggilan telefon berkenaan adalah langkah awal sebelum diadakan sidang video tiga hala antara ketiga-tiga Menteri Pertahanan, petang ini juga,” katanya pada sidang media selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang, yang disempurnakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, di sini hari ini.

“Saya akan telefon Menteri Pertahanan Thailand dan Kemboja terlebih dahulu petang ini untuk maklumkan bahawa Malaysia bersedia menjadi tuan rumah. Kemudian kita akan adakan zoom meeting bersama bagi menentukan perkara-perkara utama yang bakal dibincangkan dalam mesyuarat rasmi nanti,” tambahnya.

Sebelum ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaporkan akan memudah cara Mesyuarat GBC antara Thailand dengan Kemboja di Kuala Lumpur dari 4 hingga 7 Ogos ini. Ia bertujuan menyelesaikan pertikaian sempadan antara dua negara itu, sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata dimeterai di Malaysia pada 28 Julai lalu.

Gencatan senjata yang berkuat kuasa pada tengah malam 28 Julai, dicapai menerusi mesyuarat khas di Malaysia dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membawa kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu ke meja rundingan.

Mesyuarat berkenaan dihadiri Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.

Sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditanda secara rasmi, menjadi isu sensitif antara kedua-dua negara, dan beberapa kali mencetuskan ketegangan dan menjejaskan hubungan diplomatik. Ketegangan memuncak 28 Mei alu apabila berlaku pertempuran di kawasan sengketa Preah Vihear, menyebabkan seorang tentera Kemboja terkorban.

Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Kota Tinggi, berkata mesyuarat rasmi sempadan antara Thailand dan Kemboja dijangka berlangsung pada minggu depan. null

“Sebelum pertemuan di peringkat menteri diadakan, pegawai-pegawai kanan ketiga-tiga negara, iaitu Malaysia Kemboja dan Thailand akan mengadakan rundingan awal, dijadual berlangsung di Wisma Perwira, Kuala Lumpur,” katanya.-BH Online