TAIPING: Kira-kira 60,000 permohonan diterima untuk menyertai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Kolej Vokasional (KV) di seluruh negara, hingga kini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata jumlah permohonan itu membuktikan maklum balas yang begitu baik oleh generasi muda terhadap pembangunan pendidikan TVET.
“Ketika ini Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai 86 KV di seluruh negara dengan 17,000 kapasiti.
“Pelbagai pelan TVET juga dirancang untuk kita memperkasakan KV dan memperbaiki kemahiran praktikal dari semasa ke semasa. Latihan industri itu juga akan diperluaskan kepada lepasan TVET,” katanya selepas merasmikan Festival Udara Taiping 2025 di Lapangan Terbang Tekah di sini, hari ini.
Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Taiping, berkata kebolehpasaran graduan TVET mencapai 99 peratus berdasarkan laporan diterima beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata, pencapaian itu amat baik kerana generasi muda yang keluar dari pendidikan vokasional berpeluang melanjutkan pelajaran atau memperoleh pekerjaan yang stabil berdasarkan kemahiran dimiliki mereka.– BERNAMA