Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Isu kekurangan doktor akibat keengganan mereka bertugas di Sabah dan Sarawak khususnya di kawasan luar bandar, terus menjadi cabaran besar kepada sistem perkhidmatan kesihatan awam di wilayah Borneo.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata antara langkah perlu diambil untuk mengatasi masalah itu adalah dengan memberi keutamaan kepada pengambilan anak tempatan dalam bidang perubatan.

Katanya, pendekatan itu dilihat lebih berkesan kerana rakyat tempatan lebih bersedia dan sanggup berkhidmat di kawasan pedalaman yang mencabar.

“Pelbagai alasan diberi untuk tidak ditempatkan di Sabah dan Sarawak khususnya di lokasi luar bandar.

“Jadi, apa yang kita lakukan sekarang adalah mengenal pasti rakyat tempatan dan memberi peluang mereka belajar bidang perubatan, seterusnya berkhidmat di kawasan luar bandar,” katanya selepas majlis perasmian He Medical Clinic di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu penempatan doktor di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang masih tidak mencukupi walaupun hospital dan klinik sudah dibina di banyak lokasi luar bandar.

Pada 24 Julai lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni ketika sesi penggulungan bagi laporan tahunan dan penyata kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) di Dewan Rakyat berkata, kira-kira 600 pegawai kesihatan di Sabah dan Sarawak dikesan mengemukakan surat rayuan untuk berpindah keluar dari negeri itu.

Lukanisman berkata, keadaan itu menyebabkan Kementerian Kesihatan (KKM) berdepan cabaran membantu memberikan hak kesihatan buat penduduk di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, pada Khamis lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pegawai perubatan kontrak yang dilantik ke jawatan tetap diwajibkan memilih sekurang-kurangnya satu daripada tiga penempatan di Sabah atau Sarawak menerusi sistem e-placement 2.0, sebagai langkah menangani ketidakseimbangan agihan tenaga kerja kesihatan antara Semenanjung dan wilayah Borneo itu.

Beliau berkata, pendekatan itu tidak pernah dilaksanakan sebelum ini dan menjadi sebahagian usaha serius kerajaan mengatasi jurang penempatan pakar, doktor dan jururawat di seluruh negara.-BH Online