KUALA LUMPUR: FELDA kini menguasai 92 peratus saham dalam FGV Holdings Bhd (FGV), sekali gus membuka laluan kepada pemilikan penuh dan penstrukturan semula syarikat itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, proses pemilikan penuh itu akan dimuktamadkan Bursa Malaysia dan keuntungan daripadanya dijangka disalurkan semula kepada warga peneroka.
Selain itu, katanya, pemilikan itu turut membabitkan pegangan masing-masing Kerajaan Pahang dan Sabah yang muncul antara pemegang saham FGV selepas syarikat itu melalui proses penamatan penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
“Menerusi pegangan lima peratus Kerajaan Pahang dan Kerajaan Sabah, mereka juga (kini) menjadi pemegang saham FGV,” katanya selepas menghadiri Majlis Apresiasi Warga Peneroka FELDA di sini, hari ini.null
Ahmad Zahid berkata, pada masa sama, kerajaan sedang membantu Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) menstruktur semula atau menjual pelaburan mereka bagi meraih keuntungan lebih baik berikutan penurunan dividen berbanding tahun sebelumnya.– BERNAMA