Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan bahawa keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk mengurangkan tarif timbal balas ke atas eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus dicapai tanpa menjejaskan hak kedaulatan negara untuk melaksanakan dasar-dasar penting demi menyokong kestabilan dan pertumbuhan sosioekonomi negara. 

Dalam satu kenyataan, MITI berkata rundingan tarif antara Malaysia dan AS yang bermula pada 6 Mei 2025 telah dimuktamadkan secara rasmi pada 31 Julai 2025.

Ia berkata, hasil positif ini adalah susulan kepada usaha berterusan antara kedua-dua kerajaan melalui pelbagai platform dua hala, dan mencerminkan tahap saling melengkapi yang tinggi dalam hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan AS selama lebih 60 tahun.

Menurutnya, kadar tarif 19 peratus yang berkuat kuasa hari ini itu juga hampir setara dengan kadar yang dikenakan terhadap negara-negara lain di rantau Asia Tenggara.

“Paling penting, Malaysia telah bertegas dalam mempertahankan pelbagai perkara berprinsip (red line),” kata MITI yang menganggap pengurangan kadar tarif ini sebagai satu pencapaian besar hasil proses rundingan yang teliti dan sistematik oleh Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata keputusan oleh AS ini mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh dan berterusan antara kedua-dua negara. 

Katanya, ia juga membuktikan kredibiliti Malaysia sebagai rakan perdagangan dan pelaburan yang boleh dipercayai. 

“Kami mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatan kami di AS, khususnya Pejabat Wakil Perdagangan AS dan Jabatan Perdagangan AS, atas kerjasama dan sokongan mereka sepanjang proses rundingan ini,” katanya.

MITI juga bekerjasama rapat dengan agensi-agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuat anggaran kesan kadar tarif berbeza terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. 

Dalam menguruskan kesan tarif 19 peratus, MITI akan terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi mencari kaedah mengurangkan kesan tarif terhadap eksport Malaysia.

Selain itu, MITI akan menggalakkan pengeksport untuk memanfaatkan sepenuhnya 18 perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia untuk memperkukuh dan mempelbagaikan pasaran eksport.

Meneruskan program reformasi perindustrian – seperti yang digariskan dalam dasar utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Pelaburan Hijau dan Strategi Nasional Semikonduktor (NSS) untuk membantu syarikat Malaysia meningkatkan kecekapan, mengadaptasi automasi dan melonjakkan produktiviti keseluruhan.

MITI juga akan meneroka cara kerajaan boleh terus menyokong syarikat Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dalam menyesuaikan diri dengan kadar tarif baharu ini sebagai penanda aras (‘baseline’) baharu.

Tengku Zafrul berkata, landskap ekonomi global sejak Mac 2025 semakin tidak menentu, berikutan perubahan dasar perdagangan, ketidakpastian tarif dan ketegangan geopolitik yang meningkat. 

Beliau berkata, sebagai sebuah ekonomi terbuka yang bergantung pada perdagangan, prospek pertumbuhan Malaysia sangat berkait rapat dengan risiko luaran ini. 

Walau bagaimanapun, katanya MITI telah beberapa kali menegaskan bahawa Malaysia menghadapi cabaran ini dari kedudukan yang kukuh dan berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik yang teguh, hasil sokongan dasar yang berterusan serta reformasi perindustrian dan ekonomi yang telah menggalakkan penggunaan swasta.

“MITI akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk memaksimumkan manfaat daripada perkembangan ini, termasuk momentum kukuh dalam pelaburan yang diluluskan, didorong oleh projek infrastruktur yang sedang berjalan, kadar realisasi pelaburan melebihi 85 peratus, serta inisiatif pembangunan nasional yang bersifat pemangkin. 

“Kami tetap komited dalam mempertahankan kepentingan perdagangan Malaysia sambil membina perkongsian yang saling menguntungkan dengan ekonomi utama, termasuk AS. 

“Malaysia juga akan terus melaksanakan reformasi perindustrian dan inisiatif pemelbagaian perdagangan strategik untuk menyokong pertumbuhan negara,” katanya.

MITI turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam proses rundingan ini, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pejabat Perdana Menteri, pelbagai kementerian dan agensi, Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM), Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC), serta wakil dari badan pemikir dan industri yang memainkan peranan penting dalam merumuskan tawaran terbaik Malaysia kepada AS.

Dalam bulan-bulan akan datang, MITI bersama kementerian dan agensi berkaitan akan menjalankan program jangkauan khusus mengenai pelaksanaan kadar tarif baharu bagi eksport Malaysia ke pasaran AS.

MITI berhasrat untuk terus mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan AS, iaitu pasaran eksport terbesar Malaysia bernilai RM198.65 bilion, serta sumber pelaburan asing terbesar dengan pelaburan yang diluluskan bernilai RM32.82 bilion pada 2024.-BH Online