Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia akan memperjuangkan tarif sifar peratus ke atas komoditi seperti koko, getah dan minyak sawit yang dieksport ke Amerika Syarikat (AS), yang kini dikenakan cukai sebanyak 19 peratus.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata walaupun produk semikonduktor dan farmaseutikal Malaysia terus menikmati tarif sifar peratus, barangan lain akan dikenakan tarif 19 peratus bermula 8 Ogos ini, walaupun rundingan sedang dijalankan untuk mengurangkan lagi kadar tersebut,

Beliau turut mendedahkan bahawa Malaysia akan mengenakan tarif sifar peratus ke atas 6,911 produk yang diimport dari AS, iaitu kira-kira 61 peratus daripada jumlah keseluruhan 11,260 produk yang diminta oleh negara maju itu.

“Kita akan terus berunding dengan AS dan telah memberikan senarai produk yang kami percaya patut dikenakan tarif sifar peratus.

“Sebahagian besar produk ini adalah produk pertanian yang tidak boleh dihasilkan oleh AS, seperti koko dan getah,” katanya pada sidang media khas di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, satu kenyataan bersama Malaysia-AS berhubung tarif ini dijangka akan dikeluarkan hujung minggu ini.-BH Online