Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi terhadap salah laku membabitkan warga sekolah termasuk kejadian terbaru membabitkan pelajar memukul guru di Kajang, Selangor.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook hari ini, berkata beliau mengambil maklum mengenai kejadian terbabit dan dimaklumkan akibat salah faham antara pelajar yang terbabit.

“Tindakan pantas sudah pun diambil. Empat pelajar terbabit sudah ditahan pihak polis bagi membantu siasatan.

“KPM tidak akan berkompromi dengan salah laku ini dan akan mengambil tindakan tegas berdasar kepada hasil siasatan pihak polis,” katanya.

Beliau turut mengarahkan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk melaksanakan program intervensi bagi memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan komuniti sekolah.

“Saya minta sekolah terbabit dan PPD melaksanakan program intervensi bagi memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah,” katanya.

Terdahulu, tular satu video di media sosial memaparkan pelajar lelaki didakwa menumbuk dan mengugut gurunya dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini pada 28 Julai lalu.-BH Online