Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Kerajaan memperuntukkan RM611 bilion untuk menjayakan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dengan RM430 bilion membabitkan dana kerajaan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, kerajaan juga memerlukan pembiayaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) berjumlah RM120 bilion, manakala sokongan pihak swasta melalui kaedah perkongsian awam swasta (PPP) sebanyak RM61 bilion.

“Daripada peruntukan RM430 bilion ini, lebih daripada separuh iaitu RM227 bilion akan disalurkan kepada sektor ekonomi sebagai tunjang utama pertumbuhan negara.

“Sektor sosial turut diberi keutamaan iaitu RM133 bilion diperuntukkan dengan sektor pendidikan menerima RM67 bilion, manakala sektor kesihatan diperuntukkan RM39 bilion,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dengan ikhtiar itu menjelang 2030, negara bukan sekadar memiliki pencapaian material yang hebat dan mampu mengeluarkan produk bernilai tinggi, malah juga mempunyai rakyat yang berjiwa besar, hidup bersatu padu, saling menghormati kepelbagaian budaya dan memiliki jati diri yang utuh. 

“Inilah impian Malaysia MADANI, RMK13 harus menjadi milik semua, setiap individu, masyarakat, sektor swasta dan kerajaan berganding bahu dan teguh bergerak di landasan pembangunan yang dihasratkan demi mengangkat darjat, harkat dan martabat rakyat,” katanya. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, lima tahun mendatang adalah tempoh kritikal untuk Malaysia melonjak bukan hanya ke arah negara berpendapatan tinggi, malah mampu melahirkan rakyat berjiwa insaniah dan menyediakan kehidupan berkualiti.

Beliau berkata, RMK13 akan menjadi titik tolak kepada usaha kerajaan dengan tema Melakar Semula Pembangunan demi mengangkat martabat rakyat.

“Ikhtiar ini bukan untuk kita semata, tapi yang lebih utama, buat generasi yang akan mewarisi tanah air ini.

“Menyedari cabaran trend mega dan isu kelemahan struktur ekonomi, maka asas ekonomi Malaysia perlu dirungkai semula. Ekonomi negara tidak boleh hanya bergantung kepada pengeluaran bahan asas dalam sektor pertanian, perindustrian dan perkhidmatan. Kita perlu melonjakkan kerencaman ekonomi dengan beralih kepada penciptaan nilai dalam semua sektor ekonomi.

“Kemajuan ekonomi ini tidak akan lengkap dan mungkin pincang jika meninggalkan aspek kerohanian dan nilai insaniah. Kedua-duanya adalah peri penting untuk membentuk sebuah sistem sosial negara yang lebih baik dan terangkum ke arah menjadi negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah serta disegani,” katanya.-BH Online