Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Insolvensi Rentas Sempadan 2025 akan meningkatkan keyakinan pelabur dan menyelaraskan Malaysia dengan piawaian perniagaan global, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, Dewan Rakyat telah meluluskan rang undang-undang itu yang akan dibawa ke Dewan Negara untuk dibahaskan.

“Bagi kebanyakan orang di luar sektor perniagaan, maksud insolvensi rentas sempadan mungkin tidak begitu jelas… namun, bagi mereka yang terlibat dalam perniagaan, ia amat penting bagi negara membangun seperti Malaysia,” katanya dalam ucaptama di Persidangan Timbang Tara Islam 2025: Memperkasa Timbang Tara Islam di Sempadan Global Baharu di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) hari ini.

Azalina berkata, reformasi itu menunjukkan komitmen Malaysia untuk seiring dengan amalan antarabangsa.

“Perkara paling penting bagi saya apabila bercakap tentang insolvensi rentas sempadan ialah keupayaan untuk memberi keyakinan yang tinggi kepada para pelabur. Kita perlukan perkara itu untuk membuktikan bahawa Malaysia tidak akan ketinggalan,” katanya.

Pada 29 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Insolvensi Rentas Sempadan 2025 yang bertujuan mewujudkan satu mekanisme berkesan dalam menguruskan kes insolvensi rentas sempadan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 11 Ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang.

Azalina juga berkata, sebagai sebuah negara yang sudah lama komited terhadap pembangunan patuh Syariah, Malaysia berada dalam kedudukan yang amat strategik bagi menerajui usaha global dalam bidang timbang tara Islam kerana telah mempelopori bidang seperti kewangan dan perbankan Islam serta rangka kerja tadbir urus berlandaskan Syariah.

“Dalam sektor kewangan dan perbankan Islam, transaksi kewangan rentas sempadan yang kompleks sering melibatkan instrumen undang-undang hibrid, pelbagai rangka kerja kawal selia serta pihak berkepentingan yang mahukan kepastian bukan hanya dari sudut perundangan tetapi juga pematuhan Syariah.

“Kita perlu memanfaatkan asas kukuh ini untuk memperluas pengaruh ke sektor-sektor lain yang saling berkaitan serta mengukuhkan kepimpinan kita dalam Penyelesaian Pertikaian Alternatif berlandaskan Syariah (ADR),” katanya sambil mengucapkan selamat maju jaya kepada AIAC atas satu inisiatif yang bersejarah iaitu mewujudkan peraturan mediasi Islam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AIAC, Datuk Almalena Sharmila Johan, berkata peningkatan skala dan kerumitan perdagangan rentas sempadan telah meningkatkan keperluan terhadap mekanisme penyelesaian pertikaian yang bukan sahaja berkesan tetapi juga sensitif terhadap budaya.-BERNAMA