Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) telah memberi sumbangan ketara kepada hasil negara dan ekonomi, dengan menjana sejumlah RM839.9 juta.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, jumlah itu merangkumi RM597.5 juta dalam bentuk pelaburan deposit tetap, RM237.2 juta dalam pelaburan hartanah dan RM5.2 juta daripada yuran penyertaan.

“Limpahan ekonomi hasil pelaksanaan dasar baharu MM2H ini turut memberi manfaat kepada sektor lain seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan insurans.

“Angka ini bukan sahaja mencerminkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan, malah menunjukkan keyakinan peserta terhadap kestabilan ekonomi dan prospek jangka panjang negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata, kementerian telah menerima sebanyak 3,019 permohonan di bawah syarat baharu yang diumumkan bermula Oktober 2024 hingga Jun tahun ini.

Daripada jumlah itu, 48 permohonan dikemukakan di bawah kategori Platinum, 137 kategori Emas, 2,434 kategori Perak, dan 400 permohonan di bawah Zon Ekonomi Khas atau Zon Kewangan Khas.

Setakat ini, sebanyak 1,294 permohonan telah menerima pengesahan pas MM2H, merangkumi 19 peserta kategori Platinum, 61 kategori Emas, 1,020 kategori Perak, dan 194 daripada kategori Zon Ekonomi/Kewangan Khas.

Beliau menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PN–Balik Pulau) yang meminta penjelasan mengenai status semasa program MM2H dan sejauh mana perubahan syarat kelayakan di bawah pakej terkini berjaya meningkatkan hasil negara serta memberi manfaat ekonomi.

Garis panduan baharu MM2H yang diumumkan pada Jun tahun lalu menyaksikan syarat kewangan yang lebih rendah dikenakan kepada pemohon, namun menetapkan peraturan baharu berkaitan hartanah.

Pemohon kini diwajibkan membeli hartanah di Malaysia bernilai antara RM600,000 hingga RM2 juta, bergantung kepada kategori visa yang dipohon.-BH Online