Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Jumlah tawaran kemasukan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di universiti awam (UA) bagi sesi akademik 2024/2025 adalah seramai 8,612 orang, meningkat berbanding 4,530 orang bagi sesi akademik 2018/2019.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata jumlah penawaran ini hampir sekali ganda iaitu sebanyak 90.1 peratus dalam tempoh tujuh tahun.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang bertanya mengenai trend pengambilan pelajar menerusi Unit Pusat Universiti (UPU) yang mana bilangan pelajar cemerlang STPM jauh lebih rendah berbanding pelajar matrikulasi dan asasi sejak 2018 di UA serta meminta menteri memperihalkan ketidakcukupan dana dari kerajaan yang memaksa UA menampung kekurangan ini menerusi saluran terbuka dengan yuran tinggi.

Mengulas mengenai saluran terbuka atau dikenali juga sebagai saluran komersial, Zambry berkata ia berdasarkan kepada prinsip ‘over and above’ dan tidak mengganggu unjuran saluran perdana.

Beliau itu, selain itu, saluran terbuka juga perlu melalui proses penilaian dan mematuhi kelayakan serta memenuhi syarat akademik, kemahiran bahasa dan kriteria program. Tiada kompromi dari segi standard yang ditetapkan oleh badan akreditasi.

“Model saluran terbuka ini sebenarnya membuktikan kematangan sistem pendidikan tinggi bergerak ke arah lebih anjal kerana perubahan dalam dunia akademik berlaku begitu pantas, memerlukan universiti bergerak tangkas dan mempunyai sumber kewangan sendiri.

“Kementerian menghargai keprihatinan untuk memastikan peluang kemasukan ke peringkat tertiari terutamanya bagi pelajar cemerlang terpelihara. Kementerian komited untuk memastikan akses pendidikan tinggi dinikmati dan diperluas kepada semua rakyat,” katanya.-BH Online