Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Selepas lebih lima tahun terbengkalai, projek Residensi Hektar Gombak, satu projek perumahan mampu milik di bawah Program Residensi Wilayah (RUMAWIP) akhirnya disambung semula hari ini dengan suntikan dana baharu RM125 juta.

Penyambungan semula projek ini bakal membuka lembaran baharu buat 2,400 pembeli rumah yang sekian lama menanti dengan penuh harapan.

Projek perumahan mampu milik di bawah Program Residensi Wilayah (RUMAWIP) yang bermula sejak 2018 itu gagal disiapkan mengikut jadual asal iaitu pada tahun 2022.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata Projek Residensi Hektar Gombak yang dimulakan pada 2018 antara projek terbengkalai paling besar dan ia sepatutnya siap pada 2022, namun pelbagai masalah timbul sehingga projek berkenaan terbengkalai dan menyebabkan ramai terkesan.

“Dengan adanya suntikan modal RM125 juta ini, kerja-kerja pembinaan akan bermula hari ini dan ia diteruskan oleh kontraktor utama baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas sempena lawatan kerja ke tapak Projek Residensi Hektar Gombak yang membabitkan penyediaan 2,400 unit kediaman mampu milik di Bawah Program Residensi Wilayah (RUMAWIP) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib. 

Kontraktor perlu serah kunci pada 2027

Dalam pada itu, Kor Ming mengingatkan pemaju perumahan yang diberi tanggungjawab menyiapkan Projek Residensi Hektar Gombak untuk menyerahkan kunci kepada pembeli pada 2027 dan berisiko disenaraihitamkan sekiranya gagal. 

“Ini peluang terakhir kepada pemaju perumahan. Sekiranya dia (pemaju) gagal lagi untuk serah kunci pada 2027 (kepada pembeli), saya akan menggunakan kuasa menteri untuk menyenaraihitamkan pemaju berkenaan termasuk ahli lembaga pengarah syarikat terbabit.

“Tiada lagi peluang kedua. Duit sudah ada, tidak ada alasan lagi. Pemaju perlu pastikan mereka serah kunci pada 2027,” tegasnya. 

Tambah Kor Ming, KPKT akan terus memainkan peranan aktif dalam menyelia kemajuan projek ini dan memastikan pemaju mematuhi pelan pemulihan ditetapkan, sekali gus memberikan kelegaan dan keyakinan kepada pembeli yang terbabit. 

Dalam pada itu, Kor Ming berkata sejak penubuhan pasukan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) di bawah Jabatan Perumahan Negara (JPN), pihaknya berjaya memulihkan 1,127 projek terbengkalai, membabitkan 135,211 unit rumah dengan nilai keseluruhan RM106.48 bilion setakat Mei lalu.-BH Online