Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia meraih pelaburan digital berjumlah RM2.97 bilion daripada syarikat teknologi terkemuka China, sekali gus membuka lebih 6,800 peluang pekerjaan digital bernilai tinggi di seluruh negara, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, pencapaian itu hasil misi pelaburan ke China yang diketuainya baru-baru ini, mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam transformasi digital dan inovasi.

Misi yang diadakan sempena Persidangan Kecerdasan Buatan Sedunia (WAIC) 2025 di Shanghai itu berjaya membawa komitmen pelaburan daripada syarikat gergasi seperti Baidu (melalui Wisetech), Tsing Digital, iSoftStone, Inspur Group, China Mobile International dan China Unicom.

“Melalui Status Malaysia Digital (MD) dan perkongsian strategik, kita memperkukuh daya saing digital global sambil membuka peluang baharu di Selangor, Johor dan Perak,” katanya.

Gobind mempelawa syarikat China menubuhkan lebih banyak pusat inovasi di Malaysia bagi merealisasikan aspirasi menjadi hab inovasi digital ASEAN.

Beliau turut menekankan pembangunan ekosistem teknologi baharu seperti platform mobiliti autonomi dan pusat arahan nasional sebagai pemacu utama bandar pintar dan tadbir urus digital.

Gobind berkata, kepentingan agen kecerdasan buatan (AI) semakin kritikal dalam membentuk landskap digital moden, namun kejayaannya bergantung kepada keyakinan rakyat bahawa teknologi ini digunakan secara selamat, beretika dan selaras dengan nilai masyarakat.

Malaysia juga akan melancarkan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN semasa kepengerusian ASEAN tahun ini untuk menyelaras tadbir urus digital serantau.

Beliau mencadangkan pembangunan rangka kerja pensijilan AI bagi memastikan teknologi baharu mencerminkan keutamaan negara, konteks budaya dan perlindungan etika.-BERNAMA