Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM – Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang keusahawanan dengan pembiayaan penuh menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu disediakan khas bagi melahirkan lebih ramai usahawan sekali gus membuka peluang kepada graduan TVET yang tidak memilih untuk memasuki pasaran kerja.

Menurut beliau, pembiayaan penuh itu ditawarkan kepada graduan yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang keusahawanan di Management and Science University (MSU).

“Saya yakin tidak semua graduan TVET akan bekerja makan gaji kerana ada dalam kalangan mereka yang mahu jadi usahawan,” katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program TVET di Dewan Canselor MSU di sini pada Rabu.

Sehubungan itu Ahmad Zahid turut mencabar MSU menawarkan sehingga 200 kursus TVET menjelang tahun 2030 berbanding 100 kursus yang ditawarkan ketika ini.

“Kita akan usahakan pembiayaan terbaik agar lebih ramai pelajar dapat menyambung pengajian dalam bidang ini,” tambah beliau.

Jelas beliau, satu modul khas akan dibangunkan dengan kerjasama MSU dan Majlis TVET Negara bagi membolehkan graduan diploma dan ijazah memindahkan kredit sedia ada selain hanya mengambil beberapa subjek tambahan untuk layak menerima eksekutif diploma dalam bidang berkaitan.

Dalam pada itu, katanya, beliau mahu memastikan semua institusi TVET termasuk MSU mencapai kadar kebolehpasaran graduan 100 peratus menjelang tahun 2028.

“Purata kebolehpasaran nasional ketika ini ialah 95.1 peratus dan MSU sudah melebihi purata itu, namun saya mahu mereka capai 100 peratus dan satu anugerah khas akan diberikan jika sasaran ini tercapai,” ujarnya.

Tambah beliau, langkah itu selaras dengan pendekatan baharu konsep ‘teaching factory’ yang diperkenalkan iaitu hanya 30 peratus masa pembelajaran berlaku di dalam kuliah, manakala 70 peratus lagi di lapangan industri.

Katanya, pendekatan tersebut turut membuka ruang kepada syarikat-syarikat domestik dan pelabur asing untuk menilai dan menawarkan pekerjaan lebih awal kepada pelajar TVET.

“Kita telah berjaya buktikan di UNIKL (Universiti Kuala Lumpur) dalam bidang aeroangkasa yang mana sebelum pelajar tamat pengajian, mereka sudah ditawarkan kerja oleh syarikat MRO (penyelenggaraan, baik pulih dan pemeriksaan) seperti Airbus dan Boeing,” katanya.

Beliau mendedahkan, sebanyak 100 tempat telah ditawarkan oleh sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang menubuhkan pusat MRO di Subang dan tempat itu dikhususkan kepada pelajar TVET.

“Kita juga sedang mengusahakan lebih banyak kerjasama dengan syarikat penerbangan negara dan kos rendah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab MRO serantau,” jelas beliau.-Sinar Harian