Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Umat Islam dinasihatkan sentiasa berwaspada terhadap pihak yang tidak menghormati kedudukan doa dari sudut syariat Islam dan menggunakannya secara sempit demi kepentingan diri serta kumpulan tertentu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata umat Islam mesti memperteguhkan kesedaran agama dan penghayatannya yang syumul.

Beliau berkata, ia bagi mendepani pelbagai dakyah licik serta halus menggunakan imej dan unsur agama oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melemahkan kekuatan dicapai negara ketika ini.

Katanya, beliau kesal terhadap tindakan seorang ahli politik yang didakwa tidak menghormati kedudukan doa sebagai senjata agama bagi membangun rohaniah ummah, pada perhimpunan awam di ibu kota, baru-baru ini.

“Lebih mendukacitakan, kandungan doa dibacakan di hadapan orang ramai itu (didakwa) mengandungi unsur penerapan fahaman yang memecahbelahkan hubungan sesama umat Islam serta tuduhan tidak berasas terhadap barisan kepemimpinan negara.

“Kandungan doa itu membimbangkan kerana ia boleh mendorong tindakan ekstremisme dan radikalisme dalam kalangan masyarakat awam,” katanya.

Mohd Na’im menjelaskan, doa sebagai senjata bagi setiap mukmin adalah penghubung keutuhan hubungan rohaniah hamba dengan Allah SWT.

“Justeru, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan berusaha meningkatkan kefahaman dan penghayatan nilai Islam yang sebenar.

“Ia berasaskan prinsip kesederhanaan, meninggikan syiar Islam serta memerangi penularan pemikiran ekstrem dan radikal yang boleh menggugat kerukunan perpaduan ummah serta kesejahteraan negara.

“Kami akan terus komited mengukuhkan dasar Malaysia MADANI yang bermatlamat membina negara berteraskan kekuatan nilai sejagat demi membina rakyat yang mampan dan makmur dalam segenap segi kehidupan serta ketamadunan bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.-BH Online