KUALA LUMPUR: Struktur tarif elektrik yang disemak semula oleh kerajaan bagi Semenanjung Malaysia kini merangkumi perincian kos yang lebih jelas, sekali gus mencerminkan kos pembekalan sebenar.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata melalui struktur baharu ini, perincian mengenai Caj Tenaga, Caj Kapasiti, Caj Rangkaian dan Caj Peruncitan bagi setiap kategori pengguna dipaparkan, berbanding struktur lama yang hanya mempunyai komponen Caj Tenaga dan Caj Minimum saja.
Beliau berkata, ia akan memastikan pengagihan kos yang adil dan saksama kepada semua pengguna, di samping memberikan impak perubahan minimum kepada pengguna domestik.
“Kalau dulu pendekatan kita menggunakan ICPT (Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api) iaitu berdasarkan harga yang dinilai setiap enam bulan. (Melaluinya) setiap enam bulan kita akan pastikan berapa purata kenaikan gas, arang batu dan sebagainya. Komponen itu nanti akan dinilai setiap enam bulan.
“Tapi sekarang, apa yang kita lakukan, ia akan dinilai setiap bulan melalui AFA (Automatic Fuel Adjustment). (Jadi) setiap bulan kita akan tahu berapa nilai dan ianya dibuat anggaran ke hadapan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai matlamat jadual tarif elektrik baharu dalam mencapai agenda peralihan tenaga dan kemampanan jangka panjang, selain penjelasan kerajaan terhadap dakwaan tarif membebankan rakyat serta langkah menangani kekeliruan dan keresahan awam berkaitan dasar ini.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini memaklumkan pelanggan boleh meneliti secara terperinci setiap sen yang dibelanjakan bagi penggunaan elektrik menerusi format bil baharu yang lebih menyeluruh dengan pelaksanaan struktur tarif elektrik baharu yang diumumkan Suruhanjaya Tenaga (ST) baru-baru ini.
Struktur baharu yang digunakan ini diluluskan kerajaan melalui mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) selaras dengan Seksyen 26 Akta Bekalan Elektrik 1990.
Berdasarkan laman sesawang rasmi myTNB, pelanggan akan menerima bil yang memaparkan pecahan tiga komponen utama – Caj Penjanaan, Caj Rangkaian dan Caj Peruncitan. Pendekatan itu bertujuan meningkatkan ketelusan dan kefahaman pengguna terhadap struktur bil elektrik.
Caj Penjanaan merangkumi kos bahan api, kapasiti penjanaan dan pelarasan harga bahan api global, Caj Rangkaian membabitkan kos operasi penghantaran dan penyelenggaraan sistem bekalan, manakala Caj Peruncitan membabitkan kos perkhidmatan pelanggan, pengebilan serta pengurusan akaun.
Fadillah ketika mengulas lanjut memberikan contoh di mana pengguna domestik yang menggunakan tenaga elektrik di bawah 600 kilowatt sejam (kWj) dikecualikan daripada AFA, namun bagi penggunaan melebihi 600kWj akan dikenakan caj sumber tenaga, sama ada gas dan arang batu.
“Disebabkan kos minyak dan gas turun, maka untuk 1 hingga 31 Ogos, rebat akan diberikan kepada bekalan tenaga ini sebanyak 1.545 sen sebab penurunan harga.
“Ia sudah dibuat secara bulanan dan bukan lagi enam bulan, maknanya ia lebih tepat dan telus mengikut garis semasa,” katanya.
Tambah Fadillah, struktur baharu yang diperkenalkan itu lebih telus dan dapat mendidik pengguna supaya peka terhadap semua komponen yang terbabit dalam pembekalan elektrik.
“Ini langkah awal dalam memberi kesedaran atau mendidik rakyat supaya menjadi pengguna yang bijak tenaga selaras dengan agenda peralihan tenaga negara,” katanya.
Beliau berkata, kadar tarif dalam jadual baharu ini juga tidak lagi berdasarkan aktiviti ekonomi tetapi mengikut tahap sambungan voltan, bertujuan memastikan pengguna bukan domestik dikenakan kadar tarif berdasarkan kos sebenar untuk membekalkan sumber elektrik dan mengelakkan berlakunya diskriminasi berdasarkan aktiviti.
“Struktur ini juga menyokong aspek kemampanan di mana ia menyediakan platform penyertaan yang sama rata dan adil dalam kalangan pengguna bukan domestik.
“Ketelusan dalam komponen kos pembekalan ini dapat menggalakkan pengguna bukan domestik untuk menerokai sumber tenaga boleh baharu (TBB) bagi mendapatkan sumber alternatif elektrik yang lebih kompetitif, di samping memenuhi tanggungjawab dan sumbangan korporat dalam mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya.
Bagi memastikan rakyat memahami struktur jadual tarif elektrik baharu ini, Fadillah berkata, kementeriannya bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah mengeluarkan beberapa infografik bertujuan mendidik pengguna mengenai komponen baru yang diperkenalkan seperti caj tenaga, caj kapasiti, caj rangkaian, dan caj peruncitan dan juga komponen AFA yang menggantikan pelaksanaan ICPT.-BH Online