KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan menegaskan kenderaan perdagangan yang tidak dilengkapi sistem Speed Limitation Device (SLD) atau peranti had kelajuan tidak akan dibenarkan untuk berada di jalan raya.
SLD adalah sistem kawalan kelajuan automatik, berfungsi mengehadkan kelajuan kenderaan secara elektronik melalui Unit Kawalan Elektronik (ECU), selari matlamat mewujudkan kawalan kelajuan tanpa perlu mematikan enjin, sekali gus tidak menjejaskan keselamatan operasi kenderaan.
Menterinya, Anthony Loke, berkata ini berikutan kenderaan terbabit tidak melepasi pemeriksaan susulan penguatkuasaan pelaksanaan sistem berkenaan bermula secara berfasa mulai Oktober ini.
Beliau berkata, pelaksanaan sistem SLD penting bagi mengawal kelajuan kenderaan berat dan mengurangkan risiko kemalangan maut, terutama membabitkan bas dan lori dengan ia sudah lama diwajibkan di negara Eropah serta Singapura.
“Walaupun saya tahu mungkin ada pemain industri akan ada ‘pushback’, menyatakan kos tambahan dan sebagainya. Namun (pelaksanaan sistem SLD) untuk memastikan keselamatan jalan raya (dan) nyawa manusia lebih terjamin.
“Saya harap ahli Yang Berhormat bersama menyokong usaha kerajaan memastikan pelaksanaan ini berjalan dengan lancar supaya apa-apa sahaja ‘pushback’, kita nyatakan keselamatan mesti diutamakan berbanding kos dan keuntungan perniagaan,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Richard Rapu@Aman Begri (GPS-Betong) mengenai impak pelaksanaan SLD, kos penguatkuasaan, pelaksanaan penyelenggaraan dan kesannya jika gagal berfungsi, pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Loke berkata, penguatkuasaan pemasangan SLD bagi semua kenderaan perdagangan dilakukan secara tiga fasa, dengan peringkat permulaan membabitkan pengesahan kefungsian sistem bagi semua kenderaan perdagangan dibina selepas 1 Januari 2015.
Beliau berkata, pelaksanaan SLD terpakai kepada semua kenderaan perdagangan iaitu kenderaan barangan dengan berat dengan muatan (BDM) melebihi 3500 kilogram (kg) dan kenderaan penumpang dengan BDM melebihi 5000kg serta melebihi lapan penumpang.
“Fasa dua pula membabitkan pengaktifan SLD dalam ECU bagi semua kenderaan perdagangan dibina sebelum 1 Januari 2015. Penguatkuasaannya bermula 1 Januari depan.
“Fasa tiga membabitkan pemasangan peranti SLD secara retrofit (dengan pengesahan JPJ) bagi kenderaan perdagangan tidak dilengkapi dengan sistem ini. Penguatkuasaannya akan bermula 1 Julai depan,” katanya menjawab soalan asal Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik).
Mengulas lanjut, katanya, kementerian turut mempertimbang cadangan pemasangan sistem keselamatan seperti Brek Kecemasan Automatik (AEB), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Sistem Pemantauan Masa Nyata secara bersepadu dengan SLD serta memperkenal kotak hitam bagi kenderaan komersial.
“Kementerian perlu melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan bagi memastikan sebarang pelaksanaan dibuat dengan baik dan teratur,” katanya.-BH Online