Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya berkata hampir sejuta pengguna akan merasai impak signifikan susulan penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata ia mengambil kira jurang besar antara kadar tol yang dikenakan kepada pengguna dengan kadar tol yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

Beliau berkata, kuantum kadar kenaikan bagi kenderaan kelas satu berdasarkan perjanjian konsesi bagi 10 lebuh raya terbabit adalah antara 50 sen hingga RM4.56 atau sebanyak 79 hingga 83 peratus.

Sebagai contoh, beliau berkata pengguna kenderaan kelas satu yang melalui Plaza Tol Lebuhraya Kuala Lumpur–Putrajaya (MEX) akan menikmati penjimatan RM6.80 bagi perjalanan pergi dan balik.

Nanta berkata perkara itu disebabkan kadar tol perjanjian konsesi pada 2025 ialah RM6.90, namun kadar tol semasa dikekalkan pada RM3.50 untuk perjalanan sehala.

“Sekiranya jumlah penjimatan ini didarabkan selama 20 hari, iaitu penggunaan bagi tempoh sebulan atau 240 hari (setahun), penjimatan yang akan dinikmati oleh pengguna terbabit ialah RM136 sebulan atau RM1,632 setahun,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai implikasi kepada pengguna lebuh raya sekiranya kerajaan tidak menangguhkan kenaikan kadar tol pada 2025.

Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri dalam pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia berkata kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya supaya rakyat terus menikmati kadar tol yang sama.

Antara lebuh raya terbabit ialah ialah Lebuhraya MEX, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Senai–Desaru (SDE), Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya KL–Kuala Selangor (LATAR).-BH Online