Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) memuji kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjadi orang tengah kepada persetujuan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara Thailand dengan Kemboja.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, berkata AS menyambut baik pengumuman gencatan senjata Thailand-Kemboja yang diumumkan, petang tadi.

“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, atas kepimpinan beliau dan kerana menjadi tuan rumah rundingan gencatan senjata ini,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Negara AS, lewat malam tadi.

Rubio turut menggesa Thailand dan Kemboja agar mematuhi sepenuhnya komitmen mereka untuk menamatkan konflik dan mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

“Presiden Donald Trump dan saya komited untuk menghentikan keganasan serta-merta, dan kami menjangkakan Kerajaan Kemboja serta Thailand akan menunaikan sepenuhnya komitmen mereka bagi menamatkan konflik ini,” katanya.

Rubio menegaskan AS akan terus komited dan terbabit dalam proses yang dianjurkan bersama Malaysia bagi menamatkan konflik berkenaan.

“Kami menggesa semua pihak agar menunaikan komitmen masing-masing,” katanya.

Terdahulu, satu mesyuarat khas yang dipengerusikan Anwar selaku Pengerusi ASEAN, telah diadakan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, menghadiri mesyuarat khas itu yang bermula jam 3 petang.

Ia merupakan pertemuan secara bersemuka pertama antara kedua-dua pemimpin itu sejak ketegangan tercetus antara kedua-dua negara jiran berkenaan pada 24 Julai lalu.

Mesyuarat itu berlangsung hampir dua jam setengah.

Turut hadir ialah Duta AS ke Malaysia, Edgard Kagan, dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

AS bertindak sebagai penganjur bersama mesyuarat itu, manakala China hadir sebagai pemerhati bagi menyokong penyelesaian damai terhadap situasi yang sedang berlaku.

Pada sidang media bersama selepas mesyuarat itu, Anwar mengumumkan Thailand dan Kemboja telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan yang memuncak di sepanjang sempadan yang belum dimuktamadkan antara kedua-dua negara itu.

Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah panjang dalam pertikaian diplomatik membabitkan kawasan sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditanda sepenuhnya.

Ketegangan antara Thailand dengan Kemboja mula memuncak sejak 28 Mei lalu susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan Preah Vihear yang dipertikaikan, mengakibatkan seorang anggota tentera Kemboja terkorban.-BH Online