Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Dasar ‘Single Gatekeeper’ bagi pengimportan beras yang dilaksanakan melalui Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) kekal penting dan relevan dalam melindungi industri strategik negara, terutama dalam menyediakan sumber bekalan makanan utama iaitu beras.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ia mengambil kira keadaan dunia hari ini yang berdepan pelbagai cabaran yang memberi kesan langsung kepada isu bekalan makanan.

Antaranya cabaran itu, beliau berkata seperti perubahan iklim yang menyaksikan fenomena cuaca ekstrem seperti kemarau berpanjangan atau banjir besar di negara-negara pengeluar beras utama (seperti India, Thailand dan Vietnam) boleh menyebabkan penurunan hasil tuaian secara mendadak.

Selain itu, katanya isu ketegangan geopolitik dengan konflik serantau atau global boleh mengganggu laluan perkapalan dan rantaian bekalan, menyebabkan kos logistik meningkat atau bekalan terputus; serta dasar perlindungan atau ‘protectionism’ di mana negara pengeluar mungkin secara tiba-tiba menyekat atau mengenakan cukai eksport tinggi untuk melindungi bekalan domestik mereka, sepertimana pernah dilakukan India.

“Dalam situasi yang dinyatakan ini, kewujudan ‘Single Gatekeeper’ membolehkan Malaysia bertindak secara bersepadu dan strategik. 

“Dalam hubungan ini, BERNAS boleh menggunakan hubungan jangka panjangnya dengan pelbagai negara pembekal untuk merundingkan perolehan beras bagi pihak Malaysia demi memastikan bekalan tidak terjejas secara drastik. 

“Tanpa entiti tunggal ini, syarikat-syarikat import yang lebih kecil mungkin tidak mempunyai ‘bargaining power’ atau kemampuan untuk mencari sumber alternatif dengan pantas, lantas mendedahkan Malaysia kepada risiko kekurangan bekalan atau lonjakan harga yang melampau,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan melalui laman web Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) sama ada kementerian telah memuktamadkan negara pengimport alternatif dengan mutu penghasilan beras berkualiti tinggi sebagai ‘Pelan B’ bagi mengekalkan kelangsungan bekalan beras import untuk pasaran tempatan rentetan kemelut geopolitik India-Pakistan selaku antara dua negara pengeksport beras signifikan ke Malaysia.

Dalam pada itu, Mohamad berkata KPKM akan memastikan BERNAS sentiasa mengamalkan dasar kepelbagaian sumber dalam pengimportan beras bagi mengurangkan risiko kebergantungan kepada mana-mana satu negara pembekal. 

Negara sumber utama bagi pembekalan beras putih import termasuklah Thailand, Vietnam, India, Pakistan, Myanmar dan Kemboja.

“Strategi yang digunakan ini membolehkan BERNAS menyesuaikan pembelian berdasarkan perkembangan harga pasaran dan juga dasar eksport semasa negara pembekal berkenaan. 

“Dalam hal ini, pihak BERNAS komited memperkukuh strategi pengimportan beras putih melalui pemantauan pasaran secara aktif, giat meneroka sumber dari pelbagai negara dan melaksanakan dasar perundingan harga yang kompetitif,” katanya.-BH Online