Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti permohonan kira-kira 600 pegawai perubatan yang membuat rayuan untuk berpindah dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata permohonan berkenaan sedang diproses tetapi perlu diteliti secara mendalam bagi memastikan tidak berlaku kekurangan tenaga kerja di kedua-dua negeri berkenaan.

“Semua yang membuat rayuan akan dipertimbangkan dengan serius.

“Sudah tentu (ada kekurangan), sebab itulah mereka perlu benar-benar mempertimbangkan formula yang sesuai. Kita tunggu saja keputusan mereka,” katanya selepas menghadiri pelancaran buku ‘Crisis and Community: COVID-19 in Malaysia’ di sini, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Dr Dzulkefly berkata, KKM sedang mempertimbangkan pendekatan bersesuaian untuk menangani isu itu, termasuk mengkaji semula formula penempatan doktor ke kawasan luar bandar.

Beliau berkata, pihaknya turut mempertimbangkan pelbagai insentif sebagai langkah mengurangkan keinginan pegawai perubatan untuk berpindah keluar dari kawasan pedalaman.

Sebelum ini, KKM dilaporkan berkata, kira-kira 600 petugas kesihatan di Sabah dan Sarawak telah mengemukakan surat rayuan untuk dipindahkan keluar dari dua negeri itu.

Namun, KKM menghadapi cabaran dalam menjamin hak untuk mendapatkan rawatan kesihatan bagi penduduk di Sabah dan Sarawak susulan perkembangan itu.-BH Online