KULIM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menunggu laporan penuh berhubung siasatan ‘pasport terbang’ susulan penahanan beberapa anggota penguat kuasa di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) semalam.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain untuk menguruskan kes itu mengikut prosedur ditetapkan.
“Saya akan minta laporan penuh nanti daripada KP AKPS, Datuk Shuhaili. Sekarang ini baru hari ke-25 (beliau memimpin jabatan itu), biar dia uruskan dulu.
“Saya percaya kita telah meletakkan orang yang betul pada tempatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Dataran Kulim, di sini, hari ini.
Sementara itu, Saifuddin turut menyentuh mengenai kritikan awal terhadap pelantikan Shuhaili, yang sebelum ini adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk menerajui AKPS.
Katanya, beliau tidak akan melayan tohmahan sedemikian, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada Ketua Pengarah AKPS untuk menjalankan tugas dengan bebas dan tegas.
“Waktu kita buat pengumuman dulu, saya kena teruk… orang persoal kenapa pegawai yang baik dalam PDRM diletakkan untuk jaga satu agensi baharu. Sekarang dia mula tunjukkan keberkesanan kepemimpinan.
“Kemudian orang pula kata, ‘jadi Menteri KDN tak payahlah ‘hun’ (ambil nama), ini semua kerana ketangkasan Ketua Pengarah’, bukan kerana menteri letak dia situ, habis lah.
“Itu biar luncai terjun dengan labu-labunya. Saya tak mahu layan,” katanya .
Semalam media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan empat pegawai penguat kuasa yang disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 ketika bertugas di kaunter penyeliaan zon masuk motor di sempadan Johor-Singapura.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 20 hingga 40-an itu ditahan selepas siasatan awal mendapati mereka terlibat dalam urusan keluar masuk pasport tanpa kehadiran pemilik, dikenali sebagai kegiatan ‘pasport terbang’.-BH Online