Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Thailand dan Kemboja digesa untuk mengadakan rundingan bagi memulihkan keamanan dan kestabilan berdasarkan semangat kekeluargaan ASEAN.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata rundingan bagi mengatasi konflik kedua-dua negara itu juga perlu dibuat berdasarkan semangat perpaduan dan kejiranan yang baik.

Beliau berkata, Malaysia bersedia untuk terus memainkan peranan melalui pejabat Pengerusi ASEAN bagi membantu Thailand dan Kemboja yang juga rakan anggota ASEAN menyambung semula rundingan dan menamatkan pertempuran.

Beliau juga mengulangi rayuan Malaysia supaya Thailand dan Kemboja mengamalkan sepenuhnya sikap berhemah dan melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat secara serta-merta.

“Ini bagi mengelak daripada Thailand dan Kemboja mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan usaha perdamaian.

“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 amat bimbang terhadap peningkatan ketegangan antara Kerajaan Thailand dan Kerajaan Kemboja.

“Keadaan ini mengakibatkan pertambahan jumlah korban di kedua-dua pihak serta kemusnahan harta awam, selain memaksa ramai penduduk berpindah dari kawasan sempadan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Pertempuran terkini Thailand-Kemboja adalah rentetan daripada ketegangan sejak Mei lalu, apabila seorang askar Kemboja terbunuh dalam konfrontasi bersenjata di sempadan.

Sempadan sepanjang 818 kilometer antara Thailand-Kemboja sekian lama menjadi punca persengketaan, dengan kedua-dua negara menuntut hak ke atas kawasan dilakar semasa penjajahan Perancis ke atas Kemboja pada 1907.

Beberapa kuil purba di sepanjang sempadan menjadi objek pertikaian, termasuk Prasat Ta Moan Thom dan kuil terkenal Preah Vihear.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan, pertempuran di sempadan Thailand-Kemboja masuk hari ketiga hari ini, namun seakan-akan ada sinar baharu apabila kedua-dua pihak meminta sokongan diplomatik, menyatakan mereka bertindak mempertahankan diri dan menyeru pihak lain menghentikan pertempuran serta memulakan rundingan.

Sekurang-kurangnya 30 terbunuh dan lebih 130,000 hilang tempat tinggal dalam pertempuran terburuk antara negara jiran di Asia Tenggara itu dalam tempoh 13 tahun.

Angka kematian di Thailand kekal 19 orang hari ini, manakala jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata dilaporkan berkata lima tentera dan lapan orang awam terbunuh dalam pertempuran itu.

Ketegangan antara kedua-dua negara itu meningkat sejak Mei lalu, susulan insiden berdarah, mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Pada Februari lalu, pertikaian mengenai Prasat Ta Moan Thon, sebuah kuil Khmer berhampiran sempadan Thailand, semakin memuncak apabila polis Thailand menghalang pelancong Kemboja menyanyikan lagu kebangsaan mereka di tapak itu.

Bagaimanapun, kerajaan Kemboja menafikan mereka memulakan serangan, sebaliknya menyatakan hanya bertindak balas selepas tentera Thailand melancarkan serangan bersenjata terlebih dahulu.

Kedua-dua negara kini memutuskan hubungan diplomatik dan saling menyalahkan kerana memulakan serangan.

Thailand turut mengumumkan semua pintu masuk dekat sempadan dengan Kemboja ditutup sehingga diberitahu kelak.-BH Online