Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GUA MUSANG: Nilai eksport durian negara dijangka melepasi RM1.5 bilion tahun ini apabila mendapat permintaan tinggi dari pasaran utama luar negara antaranya China, Singapura, Hong Kong dan Kanada.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata peningkatan nilai eksport durian ke luar negara bermula dalam tempoh lima tahun dari 2018 sehingga 2022.

Katanya, jumlah nilai eksport durian negara ke luar negara meningkat sebanyak 256.3 peratus atau bersamaan RM822.8 juta dalam tempoh lima tahun iaitu daripada RM321.2 juta pada 2018 kepada RM1.14 bilion pada 2022.

“Peningkatan ini membuktikan potensi besar durian sebagai antara komoditi agromakanan bernilai tinggi yang bukan sahaja memberi pulangan besar kepada negara, malah membuka peluang ekonomi kepada rakyat di pelbagai peringkat.

“Berdasarkan laporan pasaran durian segar global oleh Mordor Intelligence (2024), nilai pasaran durian dunia dijangka mencecah lebih AS$10.78 bilion pada 2025 dan melonjak kepada AS$16.89 bilion menjelang 2030, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 9.4 peratus.

“China kekal sebagai pendorong utama kepada pertumbuhan itu, menyumbang lebih 90 peratus daripada jumlah import durian di Asia Pasifik, sekali gus menjadi pasaran strategik utama bagi pengeksport Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pesta Durian 2025 Gua Musang di Dewan Perdana Majlis Daerah Gua Musang (MDGM), di sini, hari ini.

Mohamad berkata, usaha mempromosikan durian melalui pesta dan program seperti itu juga disifatkan penting bagi merangsang pertumbuhan sektor pertanian bernilai tinggi serta mewujudkan rantaian nilai melibatkan pekebun, logistik, peruncit, industri pemprosesan dan pelancongan.

Beliau menambah, sebelum ini, akses eksport ke China hanya terhad kepada durian dalam bentuk ulas dan pes (2011) serta durian sejuk beku dalam bentuk biji (2018). 

“Pada 19 Jun 2024, Malaysia berjaya memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar ke China, yang membuka akses pasaran baharu bagi eksport durian segar dari Malaysia ke negara berkenaan,” katanya.-BH Online