JAKARTA: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan kerja dua hari ke Indonesia bermula esok, bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ke-13 dengan Presiden Prabowo Subianto, yang merupakan sesi pertama antara kedua-dua pemimpin itu.
Perdana Menteri akan diiringi Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Selain itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, berkata Rundingan Tahunan itu adalah mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dengan Indonesia bertujuan memperkukuhkan kerjasama strategik dan menyeluruh.
Beliau berkata, mesyuarat itu diadakan bergilir antara kedua-dua negara sejak 2006, dan ia mencerminkan komitmen politik yang kukuh bagi mempertingkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor.
Ia termasuk sektor perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, kesalinghubungan, keterjaminan makanan serta pendidikan.
“Kedua-dua pemimpin dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan juga global yang menjadi kepentingan bersama,” katanya pada taklimat media di sini, hari ini, sambil memaklumkan satu kenyataan bersama akan dikeluarkan pada akhir sesi rundingan itu.
Rundingan Tahunan terakhir diadakan pada 2017, menjadikan pertemuan kali ini sebagai peluang tepat untuk kedua-dua pemimpin memperteguhkan hubungan strategik dan meneroka bidang kerjasama baharu dalam menghadapi cabaran serantau dan global semasa.
Syed Mohamad Hasrin berkata, kedua-dua pemimpin berkenaan juga akan menyaksikan pertukaran empat Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan bidang sempadan darat, kerjasama kesihatan serta teknologi maklumat dan komunikasi.
Dalam lawatan itu, Perdana Menteri turut dijadualkan melawat Sekretariat ASEAN di Jakarta atas jemputan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Selain itu, Anwar akan menyampaikan Ucapan Dasar mengenai ASEAN dalam konteks Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025, yang menekankan komitmen berterusan Malaysia terhadap integrasi serantau dan pembinaan Komuniti ASEAN.
Pada 2024, Indonesia adalah rakan dagang keenam terbesar Malaysia pada peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Perdagangan dua hala meningkat sebanyak 4.5 peratus daripada RM111.21 bilion (AS$24.39 bilion) pada 2023 kepada RM116.29 bilion (AS$25.5 bilion) pada 2024.-BH Online