KULAI: Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang kini di bawah kendalian Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mula beroperasi 24 jam pada September ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata dengan tempoh pengoperasian panggilan 997 yang terbaru itu pihaknya yakin ia dapat membantu lebih ramai mangsa penipuan dalam talian.
Beliau berkata, iklan penipuan di media sosial semakin meningkat saban tahun dengan 46,817 hantaran berkaitan iklan penipuan pada tahun ini setakat 15 Julai lalu direkodkan.
“Dulu kita selalu galakkan mangsa scam untuk hubungi 997, tetapi pada waktu itu selepas menghubungi 997 mangsa masih perlu ke balai polis untuk buat laporan. Sekarang 997 ataupun NSRC diambil alih oleh PDRM sepenuhnya.
“Maksudnya, apabila seseorang mangsa hubungi 997 akan diambil sebagai laporan dengan polis. Jadi mangsa perlu pergi ke balai polis dan menjimatkan masa.
“Pada September ini, NSRC hotline 997 akan beroperasi 24 jam sehari. Ketika ini mereka hanya beroperasi 12 jam sehari bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.
“Jadi tidak kiralah bila seseorang itu sedar menjadi mangsa scam mungkin jam 9 atau 11 malam juga masih boleh hubungi 997,” katanya selepas meninjau projek pembinaan longkang konkrit bagi mengatasi masalah banjir kilat di Kampung Melayu Bukit Batu, di sini hari ini.
Nie Ching berkata, sebanyak 80 peratus iklan bersifat penipuan dalam talian di media sosial dikesan berlaku di Facebook.
Katanya, pada 2023 pihaknya mengambil tindakan penurunan terhadap 6,297 iklan bersifat penipuan di semua platform media sosial.
“Dan untuk tahun lalu kami sudah menurunkan 63,652 hantaran bersifat penipuan di sosial media. Pada tahun ini sehingga 15 Julai lalu, sebanyak 46,817 iklan penipuan diturunkan. Jadi kita memang boleh nampak bahawa angka ini semakin meningkat.
“Saya sendiri juga menjadi mangsa yang mana gambar saya diguna pakai oleh scammer. Mereka membuat iklan pemberian buku secara percuma oleh Mantan Menteri Pendidikan pada minggu lalu. Iklan ini sudah diturunkan tetapi terdapat pemilik akaun lain menaikkan iklan yang sama.
“Selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menurunkan iklan penipuan gambar saya, saya lihat ada enam akaun lain naikkan iklan palsu yang sama,” katanya.-BH Online